» » Profesionalisme, kualiti guru perlu ditingkatkan untuk hadapi saingan global


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata ini sejajar dengan tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu guru dan tuntutan komitmen tinggi bagi melahirkan insan yang berjaya termasuk pemimpin negara.

"Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidak semudah yang disangka. Guru perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan negara kita.

"Guru yang hebat mendidik pelajar sehingga menjadi pemimpin. Guru yang sederhana membimbing kita menempuh laluan itu namun guru yang hebat mengilhamkan kita untuk mencari laluan kita sendiri. Mereka menggalakkan kita untuk menyerlahkan bakat masing-masing," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-43 dengan tema "Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi" di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan I dan II Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan selain ribuan warga pendidik.

Ke arah meningkatkan profesionalisme dan kualiti guru tempatan, Muhyiddin berkata kementerian akan memantapkan latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan kursus dalam program pendidikan yang turut memberi penekanan terhadap kreativiti dan inovasi.

"Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui Program Diploma Perguruan (PDP) merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran atas talian.

"Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran program berunsur inovasi di peringkat IPG kampus," jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata 566 sekolah rendah telah menerima Anugerah Tawaran Baharu Guru Besar kerana berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing melepasi sasaran prestasi tahun lepas.

Ia merangkumi 209 sekolah bandar, 302 sekolah luar bandar dan 55 sekolah pedalaman.

"Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar yang menerima anugerah ini," katanya.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Kebangsaan manakala bekas Pengetua Cemerlang, Tengku Azuan Tengku Mohamed dinamakan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.

Bekas guru Matematik yang mengajar Muhyiddin di Sekolah Tinggi Muar, Yusuf Karto, 80, didatangkan khas dalam penampilan istimewa selain diraikan dalam jamuan tengah hari sempena majlis itu.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .