Najib mempertahankan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kerana berjaya menurunkan kadar jenayah serta menangani rasuah, selepas diperkenalkan pada 2009.
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan hebat setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana gagal menangani jenayah yang berleluasa khususnya melibatkan kes tembakan.
"Saya berharap agar rakyat Malaysia terus bersatu menyokong GTP kerana perubahan hanya berkesan apabila setiap individu turut mengambil bahagian.
"Transformasi nasional merupakan aspirasi yang bermakna bagi semua rakyat Malaysia. Dengan kerjasama yang kukuh, kita boleh merealisasikan cita-cita ini dan mewujudkan kerajaan yang lebih cekap," kata Najib selepas melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional (NTP) 2013 di Angkasapuri, malam ini.
Dalam laporan yang dibentangkan hari ini, Putrajaya berkata Ops Cantas yang diperkenalkan berjaya mengurangkan kadar jenayah 6.23%.
Kes jenayah yang dicatatkan sepanjang tempoh April hingga Ogos 2013 adalah 52,320 kes tetapi selepas 116 hari Ops Cantas diperkenalkan pada Ogos hingga Disember 2013, ia berjaya menurunkan kadar jenayah kepada 49, 059 kes.
Jenayah ganas berjaya diturunkan 11.85% sepanjang tempoh tersebut daripada 13,710 kepada 12,085 kes.
Jenayah hartanah berjaya diturunkan kepada 4.24% daripada 38,610 kepada 36,974 kes.
Tahun lalu, jenayah tembak secara terbuka mendapat perhatian umum dan media, antaranya pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Development Bank Hussain Ahmad Najadi, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim dan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyWatch, R Sri Sanjeevan.
Pentadbiran Najib menerima kritikan hebat, bagaimanapun memberi alasan kes jenayah tersebut melibatkan kumpulan samseng dan berpunca daripada pemansuhan beberapa undang- undang kontroversi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO).
"Pada 2013, kita menyaksikan NKRA Mengurangkan Jenayah mengambil tindakan yang pantas dan tegas sebagai respons terhadap siri keganasan menggunakan senjata api yang akhirnya dapat diselesaikan dengan cepat," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perutusan laporan tersebut.
Selain pengenalan operasi besar-besaran tersebut, Putrajaya juga mengembalikan undang- undang lebih ketat apabila meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan menyerupai ISA tahun lalu.
Pembangkang dan NGO mengkritik langkah tersebut, mendakwa Najib memungkiri janji transformasi yang dilaungkan pentadbirannya.
Dalam laporan itu lagi, Najib menegaskan kerajaan juga berjaya menangani isu rasuah yang dihadapi pentadbirannya, memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI-M) daripada 5.1 mata pada 2007 kepada 4.3 pada 2011.
Pencapaian tersebut disifatkan sebagai suatu prestasi yang baik khususnya selepas GTP diperkenalkan pada 2009.
"NKRA Membanteras Rasuah pula terus mencatat kemajuan yang kukuh dalam peperangan membanteras rasuah menerusi kerjasama Jabatan Audit Negara untuk mentransformasikan proses laporan Ketua Audit Negara dan akhirnya memperoleh kejayaan menerusi peningkatan dalam kedudukan indeks persepsi rasuah," kata Muhyiddin.
Dalam laporan yang dikeluarkan Transparency International bagi tahun 2013, Malaysia hanya memperbaiki kedudukan satu anak tangga, naik daripada kedudukan 54 ke 53 berbanding 2012.
Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar, berkata prestasi tersebut masih perlu diperbaiki dan menegaskan masalah rasuah tidak akan berjaya ditangani selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diberikan kuasa lebih besar.
Laporan Ketua Audit Negara 2013 juga tidak mencerminkan imej transformasi, beberapa kontroversi ketirisan didedahkan dalam laporan tersebut.
Susulan laporan Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terpaksa memanggil lima kementerian untuk memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Bagi Siri Pertama.
Dalam pada itu, laporan transformasi kerajaan juga menyatakan kejayaan dalam meningkatkan taraf kehidupan berpendapatan isi rumah berpendapatan rendah.
Kumpulan isi berpendapatan rumah antara yang paling banyak menerima kesan daripada penarikan semula subsidi oleh kerajaan pada 2013.
Rasionalisasi subsidi minyak dan pemansuhan subsidi gula memberi kesan domino kepada keperluan asas isi rumah.
Daripada data eKasih yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu isi rumah miskin, sebanyak 188,781 isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kumpulan miskin.
Sebanyak 168,946 isi rumah berjaya meningkatkan tahap pendapatan mereka.
Antara program yang diperkenalkan bagi membantu golongan miskin adalah seperti Program 1AZAM, program mengesan golonan miskin eKasih, pembangunan usahawan wanita dan bantuan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah.
GTP diperkenalkan di bawah salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bertujuan untuk memenuhi keperluan rakyat selepas pilihan raya 2008.
Bagaimanapun, kesungguhan dan usaha tersebut gagal membantu pentadbiran Barisan Nasional (BN)-Najib untuk mengembalikan sokongan kepada mereka, ia terbukti selepas gagal meraih majoriti dua pertiga di Parlimen serta hilang undi popular buat kali pertama dalam sejarah negara.
No comments: