Perdana menteri berkata ini kerana ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh suatu ketika dahulu sudah ketinggalan disebabkan teknologi berubah dengan pantas sekali.
"Sistem pendidikan negara juga perlu mengajar anak-anak kita untuk mengisi jenis-jenis pekerjaan yang hari ini belum wujud lagi.
"Inilah cabaran paling besar, macam mana nak sediakan anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan belum wujud lagi, tetapi akan jadi kenyataan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Pekan yang berharga RM12.3 juta di Pekan, Pahang hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
Najib berkata rakyat di negara ini perlu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang merupakan sumber kekuatan serta kelebihan bagi sebuah negara bangsa dalam era serba kompetitif pada masa kini dan akan datang.
"Sebagai sebuah negara yang mempunyai cita-cita dan impian yang besar, maka kita melabur dalam bidang pendidikan termasuk penguasaan ilmu dan kemahiran dari kecil sehingga menepati konsep pendidikan sepanjang hayat.
"Kita pastikan tidak ada kadar keciciran yang tinggi dan kalau ada, kita buka laluan tambahan untuk anak-anak kita cari peluang pendidikan," kata perdana menteri.
Beliau tidak menafikan masih wujud lompang kemahiran di negara ini apabila apa yang dijanakan melalui sistem pendidikan tidak memenuhi sepenuhnya pemintaan pasaran.
Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan supaya lompang tersebut dapat ditutup secepat mungkin, kata Najib.
Menurutnya kewujudan kolej komuniti sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu apabila pelajar yang gagal melanjutkan pengajian di peringkat tinggi diberi kemahiran untuk mengisi pasaran kerja negara dalam sektor industri.
Najib berkata pendidikan secara umum sahaja tanpa kemahiran khusus akan menyebabkan seseorang itu gagal berbuat demikian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang 6.2% bagi suku pertama tahun ini merupakan satu pencapaian luar biasa.
"Ini bererti kita berada di landasan yang betul walaupun negara lain menghadapi pelbagai masalah, namun negara kita masih mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
"Kita mesti pastikan momentum ini tidak berhenti dan momentum transformasi harus diperkasakan," katanya.
Pada majlis itu, Najib menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Kolej Komuniti Pekan bersama enam wakil daripada industri automotif dan pelancongan.
Syarikat terbabit ialah Honda Malaysia, Hicom Automatif Manufacturer Sdn Bhd, BMW Authorised Dealer Ingress Auto Sdn Bhd, Berjaya Group, Asean Retail Chains & Franchise Federation dan Universiti Malaysia Pahang .
No comments: