» » Najib bidas Rayer gelar Umno ‘celaka’


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R S N Rayer kerana mengeluarkan perkataan menghina "Umno celaka".

Najib dalam laman Facebooknya berkata, kenyataan Rayer itu tidak wajar seolah-olah cuba hendak melaga-lagakan keharmonian rakyat Malaysia.

"Kita mungkin berbeza pandangan politik tetapi mengeluarkan kenyataan kesat adalah tidak patut.

"Tindakan ini mengundang suasana tidak harmoni, lagi pun kita semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau bagaimanapun menyeru semua ahli Umno supaya tidak cepat melatah dengan menentukan undang-undang di tangan mereka sendiri.

"Sebarang tindakan sepatutnya berlandaskan undang-undang dan kita perlu menjaga imej Umno.

"Jangan melakukan sesuatu yang tidak bertanggungjawab sebaliknya kita mesti terus mengekalkan nama baik dan reputasi parti kita," kata Najib yang juga presiden Umno.

Sejak Rayer mengeluarkan perkataan 'celaka' dalam DUN Pulau Pinang pada Selasa lalu, beberapa protes tercetus di negeri itu.

Sekumpulan 60 orang yang mengganggu perjalanan Dewan mencatat sejarah apabila menceroboh masuk DUN pada Rabu lalu.

Polis kemudiannya menahan 12 daripada mereka, namun kemudian dibebaskan degan jaminan polis.

Rabu lalu, kira-kira 50 Pemuda Umno Wilayah Persekutuan membawa sepanduk mengadakan protes di depan bangunan ibu pejabat DAP di Jalan Yew di Kuala Lumpur.

Mereka kemudiannya menyerahkan memorandum kepada Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming.

Mereka turut mengugut untuk membakar bangunan dan pemimpin parti itu juga mendakwa kumpulan terbabit merosakkan papan tanda DAP.

Semalam, sekumpulan lelaki yang mendakwa sebagai Pemuda Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menyerang pejabat DAP di Kuantan.

Kejadian seumpama itu masih terjadi walaupun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan ahlinya supaya bertenang.

Selain mengibarkan bendera Pahang, memegang kain rentang dan sepanduk, kumpulan itu turut mengecam DAP.

Antara lain tulisan sepanduk itu turut memberi amaran kepada parti Cina supaya tidak mengapi-apikan dan menghina Melayu.

Ketika protes, kumpulan itu turut membaling telur dan merosakkan papan tanda pejabat DAP.

Saksi kejadian, Kamarul Hatta Mohamed Ali, berkata kejadian jam 3 petang itu diketuai Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim, dipetik laporan Malaysiakini.

Faiz turut menggambarkan kejadian tersebut sebagai 'agak ganas' apabila kira-kira 20 telur dibaling ke arah premis DAP.

"Mereka turut melaungkan ‘Hidup Melayu’. Mereka hendak menyerahkan memorandum tetapi tiada orang di pejabat," kata Kamarul yang juga pembantu Adun PKR Semambu, Lee Chean Chung.

Kamarul berkata, kumpulan terbabit turut memijak dan membakar poster Rayer.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .