» » MH370 : Suami penumpang kecewa


Sudah lebih lapan minggu sejak pesawat Malaysia Airlines MH370 lenyap bersama 239 penumpang dan sejak itu harapan keluarga semakin pudar. The Malaysian Insider menemuramah beberapa keluarga dengan harapan rakyat Malaysia tidak akan melupakan mereka.

K S Narendran ingat dengan jelas detik-detik terakhir bersama isterinya, Chandrika Sharma sebelum berlepas ke Chennai, India menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Beijing kemudian ke Ulan Bator, Mongolia.

Pada 7 Mac itu, mereka berbicara berkenaan pelbagai isu termasuk membina rumah di lereng Nilgiris di Tamil Nadu untuk mendekati alam sekitar bersama satu-satunya anak mereka, Megha yang kini belajar di sebuah kolej di New Delhi sejauh 2,000 km dari rumah.

Pakar runding berusia 50 tahun tidak pernah menjangkakan itulah kali terakhir dia akan menemui isterinya.

Chandrika, 51, adalah antara lima warga India menaiki pesawat Malaysia Airlines MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang pada 8 Mac.

“Isteri saya ke Beijing untuk menaiki pesawat seterusnya ke Ulan Bator. Kuala Lumpur dan Beijing hanyalah hentian sebelum ke destinasi terakhir," kata Narendran.

Sudah lebih 60 hari sejak Chandrika bersama 226 penumpang lain dan 12 anak kapal pesawat hilang. Sehingga kini, masih tiada sebarang maklumat berkenaan kehilangan pesawat itu.

Narendran berkata, walaupun Chandrika sentiasa sibuk dengan urusan tugas, meskipun perkahwinan mereka sudah berusia 25 tahun, kehilangan tanpa kepastian kepulangan isterinya itu amat menyukarkan.

"Saya tidak boleh menjangka bila air mata akan mengalir. Tapi hidup perlu diteruskan. Realitinya saya masih hidup. Saya tidak boleh terus bersedih. Saya tidak akan hidup dengan cara itu," katanya.

Katanya, setiap barang dalam apartmen mereka mengimbau memori bersama isterinya.

"Kehadirannya ada di setiap penjuru rumah," katanya dan menggambarkan wanita itu seorang yang penyayang.

Perasaan rindu timbul kepada isteri yang juga kawan baiknya itu, sama seperti rasa rindu anaknya kepada ibunya.

"Kehilangannya memberikan kesan kepada anak saya. Mereka sangat rapat. Mereka saling berhubungan tiga hingga empat kali sehari," katanya.

Mengimbau peristiwa itu, Narendran berkata beliau menerima panggilan telefon daripada rakan Chandrika pada 6.30 pagi waktu tempatan tentang perkara itu.

"Saya tanya dia yakin pesawat itu dinaiki Chandrika. Kemudian saya tanya apakah dia ada salinan tiket Chandrika supaya saya boleh sahkan. Saya tiada jadual perjalanan Chandrika kerana dia memang kerap ke luar negara. Sudah menjadi rutinnya,” katanya.

Itu adalah hari paling panjang buat keluarga Narendran. Pagi itu dihabiskan menyemak beberapa sumber, termasuk berita untuk memastikan pesawat yang dinaiki Chandrika adalah MH370.

Selepas mendapat pengesahan, Narendran menghubungi anak tunggal mereka memaklumkan perkara itu.

"Dia mengambil masa untuk memproses maklumat itu. Dia tidak menangis. Mungkin pesawat itu masih belum tenggelam pada ketika itu," katanya.

Susulan kehilangan pesawat itu, pencarian besar-besar digerakkan melibatkan 26 negara.

Narendran dan Megha menanti dengan sabar di kediaman mereka di India melalui berita mengenai pesawat atau penumpang yang terselamat.

Sambil masa berlalu, misi pencarian tidak membuahkan sebarang hasil, Narendran sedar kemungkinan isterinya masih hidup amat mustahil jika pesawat itu terhempas.

"Sudah 60 hari. Sebahagian diri saya mengatakan kemungkinan isteri masih hidup adalah mustahil dengan sebahagian lagi masih berharap dia akan kembali," katanya.

Apabila ditanya apakah Malaysia Airlines atau pihak berkuasa Malaysia berhubung dengannya berkenaan perkembangan terkini misi pencarian pesawat itu, Narendran berkata, apa yang diberitahu kepadanya adalah maklumat sama sudah diketahui atau mendengarnya daripada berita dan sidang akhbar di Kuala Lumpur.

“Tiada apa-apa yang baru. Mereka menelefon saya setiap hari tetapi saya merasakan semuanya merupakan skrip. Seperti mereka membacanya daripada skrip. Jika saya bertanya lebih, jawapannya adalah sama atau mereka tidak boleh jawab,” katanya.

Beliau masih merasakan tidak perlu ke Kuala Lumpur. Daripada apa yang beliau baca dan dengar, berada di Kuala Lumpur tidak akan memberikan peluang kepadanya untuk mendapat maklumat lebih.

Dan beliau masih percaya kerajaan Malaysia mempunyai lebih banyak maklumat berbanding yang mereka kongsikan.

Seminggu lalu (7 Mei), Narendran menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bantahannya terhadap kurangnya ketelusan Putrajaya dalam berurusan dengan dunia semasa krisis kehilangan MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah menegaskan berulang kali tiada apa yang kerajaan sembunyikan mengenai MH370 yang hilang dan masih belum ditemui itu.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .