Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata panel bebas itu dianggotai pakar penerbangan dari seluruh dunia yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Kok Soo Chon.
"Biarlah badan bebas ini mengkaji dan meneliti dahulu kerana insiden MH370 dengan Air France 447 adalah dua perkara yang berbeza.
"Seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebut, ada benda yang Malaysia lakukan dengan baik, ada benda yang boleh kita lakukan dengan lebih baik," katanya dalam sidang media berkaitan MH370 pada Jumaat.
Beliau berkata jika terdapat maklum balas daripada panel bebas berkenaan, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Hishammuddin juga berkata sewaktu insiden Air France 447, masa yang diambil syarikat penerbangan itu untuk mengaktifkan sistem menyelamat adalah lebih lama, iaitu enam hingga tujuh jam.
Pada Khamis, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal MH370, yangturut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo.
Hishammuddin turut menegaskan Malaysia sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan dan tidak mungkin menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kehilangan MH370.
Mengulas kandungan laporan awal MH370 yang hanya lima muka surat berbanding laporan kes Air France 447, beliau berkata situasi yang dihadapi adalah berbeza.
"Dalam kes Air France, kedudukan pesawat itu diketahui awal dan serpihan pesawat juga ditemui di mana ada maklumat tambahan, jadi memanglah laporan yang dibekalkan lebih tebal.
"Dalam kes MH370, saya dah nyatakan ia luar biasa di mana sampai hari ini kita tidak dapat kesan di mana kapal terbang atau serpihan... tetapi tidak bermakna kita tidak mengikuti semua petunjuk yang dipanjangkan kepada kita,"katanya.
Mengulas kunjungan beliau ke Canberra Ahad ini bagi menghadiri mesyuarat tiga hala dengan China dan Australia, Hishammuddin berkata ia akan merangkumi semua aspek termasuk fasa baharu kawasan pencarian dan kewangan.
"Sebelum ini, isu kewangan dan kos tidak berbangkit namun untuk berlaku adil kepada Australia, saya rasa sudah tiba masanya bagi China dan Malaysia,sekurang-kurangnya, untuk membincangkan perjalanan seterusnya," katanya.
Beliau berkata bagi fasa baharu operasi mencari MH370, Malaysia akan mencadangkan agar beberapa pesawat canggih daripada entiti komersial Malaysia digunakan.
Hishammuddin juga berkata Australia sudah bersedia menerima kehadiran anggota keluarga penumpang MH370, jika mereka perlu diterbangkan ke negara itu.
Sumber M-S
No comments: