Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek meninggalkan majlis sebaik sahaja selesai merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Francais Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan hanya melambaikan tangan kepada wartawan yang bertanya tentang skandal itu.
Pegawainya memberitahu media, beliau perlu tergesa-gesa meninggalkan majlis berkenaan untuk menyertai satu lagi acara lain.
Semalam ketika The Malaysian Insider menghubunginya, beliau memberitahu: "Saya sedang makan, saya tidak boleh menjawab panggilan semula."
Beliau tidak menjawab panggilan telefon dan pesanan ringkas SMS yang dihantar.
Hasan dituduh campur tangan dalam pinjaman RM32 juta yang diberikan oleh Bank Rakyat kepada peniaga permaidani, Deepak Jaishikin, yang mempunyai kaitan politik, mengarahkan bank berkenaan memberikan pinjaman itu tanpa dikenakan bayaran faedah.
Bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Sabbaruddin Chik, yang mendedahkan skandal itu, memberitahu The Malaysian Insider Deepak menggunakan kenalan politik untuk menyelesaikan pinjaman berjumlah RM32 juta tanpa faedah menerusi campur tangan Hasan.
Dalam laporan The Malaysian Insider pada Isnin, Sabbaruddin mendakwa khidmatnya sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak disambung gara-gara permohonan pinjaman dibuat oleh Deepak yang dikaitkan dengan Putrajaya.
Deepak meminta bantuan Hasan, yang dikatakan memberitahu bank:”Saya boleh pecat kamu semua.”
Peniaga permaidani itu menawarkan 120 keping cek "post dated" untuk ditunaikan oleh bank bagi tempoh bayaran balik pinjaman selama 10 tahun tanpa faedah.
Sabbaruddin memberitahu Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada mulanya untuk menolak penyelesaian mudah yang diberikan bagi menyelesaikan baki pinjaman berkenaan.
"10 tahun bayar hutang tanpa faedah, maknanya bank rugi besar," kata Sabaruddin.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan tersebut, Hasan tidak berpuas hati dan enggan menandatangani surat untuk menyambung khidmat beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.
“Sebenarnya penggal saya berakhir pada 8 April dan Bank Negara sudah bersetuju, tetapi menteri tidak mahu menandatangan," katanya.
Sabbaruddin juga menunjukkan surat yang ditandatangani oleh Hasan kepada The Malaysian Insider yang secara jelas mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya.
Kemelut tersebut menjadi serius apabila Pengarah Urusan Mustafa Razak diarahkan membawa perkara tersebut ke Lembaga Pengarah Bank Rakyat untuk bersetuju dengan pembayaran hutang itu pada Mac lalu.
sumber
No comments: