Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kekesalannya dengan sesetengah umat Islam di negara yang terlalu kisahkan mengenai keharaman babi tetapi mendiamkan diri dengan dosa lebih besar seperti rasuah.
Beliau berkata, masyakarat Islam seperti tidak menyedari dosa dan mudarat dalam perkara yang jelas haram seperti riba dan rasuah adalah lebih besar daripada makan babi.
"Malangnya, kita tidak pula bising habis-habisan bagi perkara jelas haram seperti riba, korupsi, salah guna harta awam dan seumpamanya.
"Inilah fahaman Islam yang hanya terasa haram babi tetapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar," katanya dalam tulisannya di Facebook hari ini.
Selain itu, katanya, umat Islam yang termakan makanan haram tanpa sengaja tidak dikira berdosa malah Allah juga tidak akan menghukum seseorang itu atas perkara luar daripada maklumat dan kemampuannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden kandungan DNA babi yang dikesan dalam coklat Cadbury dan menyelar reaksi sesetengah pihak yang disifatkan sebagai melampau dalam agama.
Katanya, sifat Islam itu sendiri tidak pernah menyuruh atau menyusahkan seperti itu.
"Membantah hak pengguna itu sesuatu yang bagus supaya pengguna tidak diperdaya.
"Teteapi berlebihan dalam hukum seperti suruh samak mulut atau tukar darah adalah unsur ghuluw atau melampau dalam Islam," katanya.
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan penemuan DNA babi dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).
Susulan daripada itu Jakim menggantung serta merta sijil pengesahan halal dua produk keluaran Cadbury itu.
Perkara itu juga turut mengundang kemarahan masyarakat Islam di negara ini hingga menyaksikan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pengguna untuk memfailkan saman selain memboikot produk itu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mahu kilang Cadbury disita dan pengguna memboikot produknya berikutan tiada langsung permohonan maaf yang diusulkan dan pihak berkuasa seharusnya bertegas dalam hal ini.
Sementara itu, Gabungan Pertubuhan Islam bukan kerajaan (ACCIN) mahu kilang coklat Cadbury membayar kos menukar darah kepada semua umat Islam yang termakan bahan haram dalam coklat berkenaan.
Jurucakap ACCIN, Sabariah Abdullah berkata, gabungan yang mempunyai 18 NGO bernaung di bawahnya mendesak supaya saman hingga berbilion ringgit dibuat ke atas syarikat antarabangsa itu.
No comments: