Dengan tuduhan sebagai pemimpin lemah masih terngiang-ngiang di telinga, kredibiliti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tercalar lagi dengan krisis Terengganu, kata penganalisis.
Bagaimanapun, mereka berkata ia bukan salah presiden Umno itu seorang atas terjadinya kemelut yang kini berada di luar kawalan, setahun selepas memenangi mandat pertamanya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mereka berkata, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno pertama menjadi wakil rakyat bebas perlu memikul tanggungjawab sama seperti beliau di atas prestasi tidak cemerlang dan hakikat sedia maklum jangka hayat perkhidmatan terhad.
"Ini akan memberi kesan negatif yang besar terhadap kredibiliti Najib dalam Umno. Adakah ia melemahkan kepimpinan Najib? Ya. Kedua-dua Najib dan Ahmad Said sama-sama bertanggungjawab.
“Ini bukan semata-mata kesalahan Najib," kata Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, ahli Umno akan menyalahkan Najib untuk krisis kali ini walaupun terdapat alasan kukuh bagi Ahmad untuk berhenti.
Ahmad diakui mempunyai prestasi yang lemah. Malah, lawatan kerja 15 hari ke Antartika awal tahun ini pun tidak disenangi rakan-rakan Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Cara perkara ini dikendalikan memakan diri sendiri dengan cara yang sangat tidak baik. Saya mengesyaki Najib cuba mengendalikannya dengan lebih baik tetapi mesti ada beberapa pertimbangan serius yang terlepas pandang oleh Umno membawa kepada keadaan ini.
"Saya berharap ahli Umno boleh melihat tindakan memberhentikan Ahmad bukan satu keputusan yang salah," kata Wan Saiful.
Namun, beliau tidak melihat pergerakan dalam Umno untuk menjatuhkan Najib daripada jawatan tertinggi itu kerana tiada tanda mana-mana individu sanggup melakukannya.
Cabaran terbaru terhadap kredibiliti Najib, kata penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Jayum Jawan adalah kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang lemah.
Katanya, Najib dilihat sebagai tidak memberi kepimpinan yang tegas dalam parti sendiri dan di peringkat kerajaan persekutuan.
"Ini sedang berlaku kerana beliau dilihat sebagai lemah, orang tidak mendengar katanya dan terdapat masalah disiplin di bawah kepimpinan beliau," katanya.
Memberi penilaian secara berhati-hati, Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, keseluruhan krisis akan memberikan kesan besar kepada Najib.
Najib yang juga perdana menteri dan pengerusi BN, tidak mampu kehilangan sebuah lagi negeri jika satu lagi pilihan raya dibuat di negeri pantai timur itu untuk menyelesaikan kemelut politik.
"Ini adalah ujian besar bagi Najib, beliau perlu memastikan negeri itu kekal di tangan BN. Pilihan terakhir baginya adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya sambil menambah parti Melayu itu perlu menyelesaikan hal ini dengan cepat.
Bagaimanapun, Profesor James Chin tidak melihat krisis ini semakin melemahkan Najib dan berkata ia hanya akan berlaku sekiranya terdapat perubahan kerajaan di Terengganu.
Beliau berkata, semua sedia maklum Ahmad sepatutnya melepaskan jawatannya setahun selepas PRU13.
"Beliau tidak gembira dengan perjanjian sedia ada, jadi beliau melakukan ini untuk mendapatkan tawaran yang lebih baik. Persoalannya, berapa harga yang Umno sanggup bayar untuk Ahmad pergi secara senyap?" kata penganalisis politik daripada Universiti Monash Malaysia itu.
Beliau percaya krisis ini tidak memberi sebarang kesan kepada landskap politik Malaysia, dan menganggap ia “masalah domestik Umno".
"Mereka tahu mereka memerlukan menteri besar baharu untuk bersedia bagi pilihan raya umum akan datang, jika Ahmad masih kekal, mereka akan habis,” katanya.
Ahmad dipercayai menjadi perancang kepada pergolakan politik di Terengganu. Bekas menteri besar itu keluar Umno beberapa jam selepas beliau digantikan oleh Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar Terengganu pada Isnin.
Ahmad bertindak balas terhadap Najib kerana menguatkuasakan surat peletakan jawatan yang ditandatanganinya selepas dilantik semula sebagai menteri besar penggal kedua selepas PRU13 tahun lalu – walaupun merayu agar ianya dikuatkuasakan selepas perkahwinan anaknya pada 17 Mei.
Surat itu dikatakan untuk memujuk ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan pelantikan semula Ahmad sebagai menteri besar.
Parti bersetuju Ahmad dibenarkan untuk berkhidmat sebagai menteri besar hanya setahun lagi.
Ini menyebabkan dua lagi Adun Terengganu mengikut jejak Ahmad: Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud.
Ketiga-tiga mereka mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas.
Tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan semalam salah seorang daripada wakil rakyat bebas itu kembali kepada Umno.
Shahidan berkata, Roslee mengubah keputusannya untuk meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas.
“Kedudukan terkini, Umno kembali kepada 15, PAS 14, PKR 1, dan calon bebas 2,” katanya kepada The Malaysian Insider malam tadi.
Sumber T-M-I
No comments: