Beliau menyifatkan laporan itu sebagai satu fitnah, biadap dan tidak mempunyai standard.
Dyana Sofya adalah calon DAP bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.
"Semua tahu tentang gambar bikini kononnya dipakai oleh Dyana, itu bukanlah Dyana tetapi seorang pelakon Filipina.
"Sekarang apabila blog berkenaan menyokong Barisan Nasional (BN), mereka mengatakan ini semua dirancang oleh DAP khususnya saya dan Lim Kit Siang (penasihat DAP).
"Ini adalah jahat sekali, kalau kena fitnah satu kali tidak apa, sekarang hendak fitnah dua kali.
"Ini adalah perbuatan jahat. Janganlah jatuhkan maruah seorang wanita; hanya kerana beliau wanita anda rasa beliau mudah untuk dianiaya," kata Guan Eng kepada pemberita, di George Town, hari ini.
Semalam, Mingguan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk 'Dyana Sofya dan Dakyah RBA', tulisan seorang kolumnis Shen Yee Aun yang menyatakan Guan Eng dan Kit Siang merancang penyebaran gambar tersebut kepada penyokong BN melalui jentera Red Bean Army (RBA).
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, semua pihak seharusnya melihat pemilihan Dyana Sofya sebagai calon untuk pilihan raya kecil itu sebagai sesuatu yang positif dan bukan mengkritik kebolehannya.
"Mungkin anda belum kenal lagi siapa Dyana Sofya. Dia bukanlah seorang yang mudah tunduk tetapi akan terus berjuang untuk mempertahankan keadilan dan prinsip demokrasi untuk rakyat Malaysia," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dyana Sofya dan calon BN Datuk Mah Siew Keong.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.
No comments: