» » Dr M :Umno uruskan krisis Terengganu dengan lemah


Kepimpinan tertinggi Umno perlu menangani kemelut politik di Terengganu secara berhati-hati dan menggunakan diplomasi agar parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan mentadbir negeri itu.

Menegaskan demikian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata, jika pemimpin Umno pusat menggunakan pendekatan yang “kasar”, ia hanya mengundang masalah seperti dilakukan bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak meninggalkan parti berkenaan.

"Kalau kita ambil tindakan yang kasar, bagi dia (Ahmad) kalau tinggalkan Umno, tiada masalah.

"Tidak seperti di sesetengah negeri, macam Johor, Umno sudah menjadi darah daging. Kalau orang di Kelantan pula, nak tinggalkan PAS dan Umno agak payah sebab pegangan mereka kuat.

"Kedua-dua pemimpin (di peringkat pusat dan negeri) mesti terima ada kesalahan di kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dalam bidang pembangunan politik dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta hari ini.

Terengganu menjadi tumpuan selepas Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan sebagai menteri besar.

Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas berikutan krisis politik di Terengganu itu.

Roslee, bagaimanapun dilaporkan kembali kepada Umno semalam.

Ahmad menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas, setelah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari tadi.

Turut menarik balik peletakan jawatan itu ialah Ghazali.

Di Terengganu, Dr Mahathir berkata tindakan pemimpin Umno keluar dari parti itu bukan isu besar berbanding di negeri lain.

Menurutnya, di Terengganu, tukar parti perkara biasa dan mereka gemar melakukan percubaan.

"Dia cuba Umno selepas itu dia cuba PAS. Lepas itu dia cuba Umno semula.

"Itu cara dia (orang Terengganu), jadi kita kena berjaga-jaga kerana dia mudah beralih. Ini karakter orang Terengganu."

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata krisis politik yang berlaku di Terengganu itu berpunca daripada kelemahan parti Umno sekarang.

"Umno kini lemah. Sedikit sebanyak kerana pandangan (anggota) ialah (fokus) kerajaan terhadap masalah orang Melayu, masing-masing berkata, berkurangan kerana layanan yang kuat diberi kepada parti lawan dan orang Cina dan sebagainya.

"Jadi ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.

"Bagi mereka sokong pun bukan kerana kepimpinan tetapi kerana tidak suka kepada parti lawan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kepimpinan tertinggi Umno perlu memahami sentimen penyokong di peringkat akar umbi bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan pemimpin Umno tidak seharusnya mendengar bulat-bulat individu yang berada di sekeliling mereka sahaja, sebaliknya perlu memahami keluhan anggota parti yang sentiasa menyokong Umno.

"Pemimpin mesti sedar tentang perasaan orang di bawah. Jangan harap orang yang dekat sahaja. Kita kena tahu orang di bawah dia rasa macam mana.

"Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan cara dasar pentadbiran tetapi mereka tidak tahu macam mana nak gunakan saluran (menyuarakannya) kecuali melalui pilihan raya," katanya.

Dr Mahathir berkata sebenarnya Umno banyak melakukan kesilapan yang serupa, namun tidak ramai pemimpin parti itu yang berani tampil memperbetulkan kesalahan tersebut.

Ini menyebabkan kepimpinan tertinggi merasakan apa yang dilakukan mendapat sokongan, kata beliau.

"Umno jarang belajar... saya dah kata berkali-kali tetapi mereka tidak sedar. Kita akan kehilangan (kuasa) kerana Umno tidak belajar dan buat kesalahan yang sama," katanya.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .