» » 'Boleh saya kata pengundi Melayu tidak kenang budi'


Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar pengundi Cina tidak mengenang budi kerana mengundi DAP tidak masuk akal kerana wakil rakyat bukan Melayu juga boleh mempertikaikan isu sama kepada pengundi Melayu, kata Teresa Kok.

Naib presiden DAP itu berkata, apa yang dilontarkan Zahid tidak mencerminkan dirinya sebagai menteri Kabinet sebaliknya seperti orang yang tidak menerima pendidikan awal.

“Semalam, kita baca Zahid kata peniaga Cina yang pilih DAP tidak kenang budi kerana orang Melayu dan India yang membeli barang, tetapi akhirnya peniaga Cina undi DAP.

“Saya selalu makan di kedai Melayu, jadi kalau orang Melayu tidak mengundi saya, bolehkah saya kata mereka tidak kenang budi kerana saya makan dan beli barang daripada peniaga Melayu. Bolehkah?

Zahid bercakap seperti pakcik tak masuk sekolah, tetapi dia menteri Kabinet. Bukannya orang kampung yang tidak pernah ke sekolah,” katanya ketika berucap di depan penduduk Teluk Intan di Jalan Mahkota, malam tadi.

Zahid pada Isnin menggelar kaum Cina di Malaysia yang masih mengundi DAP sebagai tidak bersyukur selepas kukuh dalam kedudukan ekonomi.

"Melayu dan India yang membantu ahli perniagaan Cina. Tetapi apabila mereka mengundi, mereka memilih DAP. Mereka tidak bersyukur," kata Zahid memberitahu penduduk Melayu di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

Kok berkata, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong perlu menyatakan pendiriannya sama ada bersetuju dengan kenyataan Zahid atau tidak.

Katanya, dakwaan Mah sebelum ini yang tidak mahu bertanggungjawab dengan janji menteri Kabinet di Teluk Intan menggambarkannya mahu melepaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kita mahu Mah jawab sama ada setuju atau tidak dengan kenyataan Zahid.

“Semalam, Mah kata, semua janji dalam Kabinet bukan janjinya. Dia tidak perlu bertanggungjawab. Maaflah, orang Gerakan cakap dengan kita, kalau Mah menang dia akan jadi menteri.

“Kalau dia bakal menteri, menteri yang buat janji, berikan tanggungjawab kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal Singh yang baru sahaja dinobatkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor turut hadir pada malam tadi dan disambut penuh meriah oleh pengundi Teluk Intan.

Katanya, pengundi Teluk Intan perlu memilih Dyana agar PR menjadi lebih kuat untuk membawa bersama isu rakyat.

“Itulah sebab 31 Mei, kawan-kawan kena fikir, anda mahu BN terus merosakkan negara ini? Anda mahu polarisasi kaum menjadi lebih teruk? Ia tidak boleh diteruskan.

“Jika Mah dipilih sebagai wakil rakyat, adakah anda rasa dia akan beritahu (Datuk Seri) Najib untuk menghentikan ini semua? Adakah dia berani dan beritahu BN jangan main-main?

“Apa Mah boleh buat jika dia dipilih? Dia akan jadi budak kecil Umno. Umno akan mainkan dia. Sebab itulah Umno takut, hari-hari mahu serang Dyana,” katanya.

Ramkarpal berkata, Najib akan susah apabila dia mula beraksi di Parlimen dan fenomena itu akan menjadi lebih hangat jika Dyana turut sama mengiringinya.

Katanya, Mah tidak akan sesekali memperjuangkan aspirasi rakyat di Parlimen seperti isu rasuah yang berleluasa serta isu agama di Malaysia.

“Umno tahu Teluk Intan akan buang Umno. Katakan tidak kepada perdana menteri yang tidak berani. Kita tidak boleh terima Najib lagi. Saya masuk Parlimen, dia (Najib) banyak susah. Kalau Dyana masuk dia lagi susah.

“Sebab itu dia takut, dia tak mahu susah. Dia mahu Mah masuk kerana dia tahu Mah tidak akan mencabar. Rasuah, agama, kaum dan guna akta hasutan, apa Mah mahu buat?” katanya.

Pada majlis sama, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah gula-gula pilihan raya yang tidak mampu ditanggung kerajaan.

Katanya, penjimatan dari rasionalisasi subsidi kerajaan hanyalah RM4.9 bilion tetapi pemberian BR1M dan insentif lain berjumlah RM5.4 bilion.

“Tahun lalu, kerajaan kata mahu simpan duit lebih untuk pembangunan dan projek lain, mahu kurangkan subsidi.

“Saya tanya di Parlimen, dia kurangkan subsidi gula dan petrol berapa kerajaan jimat. Tahun lalu mereka jimat RM4.9 bilion.

“Saya tanya berapa banyak diberikan untuk BR1M, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan bantuan persekolahan, kerajaan bayar RM5.4 bilion. Yang dijimatkan tidak cukup untuk bagi BR1M. BR1M mahu beli undi. Akhirnya jimat duit tak? Tidak,” katanya.

Ngeh berkata, apa yang sepatutnya dilakukan kerajaan adalah menyalurkan bantuan berkenaan kepada golongan yang memerlukan sahaja.

“Hutang keliling pinggang. Dia tidak sempat bayar. Bukan semua murid itu miskin. Mungkin murid kita ada 20% yang perlu.

“Anak menteri, Tan Sri yang kaya raya pun kerajaan beri duit,”.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .