» » 'Bank Rakyat sila jawab isu pinjaman RM40 juta'


PAS menuntut Bank Rakyat menjelaskan mengenai dakwaan campur tangan politik dalam isu pembayaran balik pinjaman sebanyak RM40 juta oleh seorang usahawan permaidani.

Ketua penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata Bank Rakyat dan kerajaan Malaysia perlu menjelaskan alasan dalam meluluskan pinjaman dan juga pembayaran balik tanpa faedah untuk pinjaman tersebut.

"Kita minta penjelasan dari bank adakah penstrukturan semula pinjaman ini kerana peminjam gagal bayar? Kalau gagal bayar kenapa tidak ada tindakan undang-undang kepada peminjam?

"Kenapa perlu perbincangan di pejabat menteri dengan untuk bayar semula hutang?

"Apa kelebihan dan keistimewaan beliau? Dia pemegang syer atau ahli koperasi?," soal Mahfuz dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Mahu SPRM siasat

Mahfuz juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara menyiasat tadbir urus Bank Rakyat kerana bimbang isu tersebut melibatkan skandal lebih besar.

"Walaupun (Bank Rakyat dikawal) bawah Kementerian Pengguna dan bawah Akta Korperasi tapi Bank Negara masih ada tanggungjawab.

"Bank Negara harus lihat penstrukturan semula pinjaman hutang ini," katanya.

Menurut Mahfuz , kelulusan pinjaman itu juga seolah-olah mengkhianati pemegang saham bank berkenaan yang rata-ratanya terdiri dari rakyat biasa.

Katanya, sebanyak dua juta syer Bank Rakyat dimiliki oleh 945,522 individu dan 2,019 koperasi peladang dan petani.

"Saya juga minta mesyuarat agung luar biasa oleh pemegang syer untuk bincang skandal campur tangan menteri ini.

"Kerajaan patut lihat (perkara ini) dengan serius kerana libatkan kepentingan majoriti rakyat marhaen dalam koperasi," kata beliau.

Kontrak tak disambung

Portal The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan kenyataan seorang bekas pengerusi Bank Rakyat yang mendakwa Menteri Kabinet Datuk Seri Hasan Malek campur tangan dalam kelulusan pinjaman asal sebanyak RM32 juta kepada seorang usahawan permaidani.

Bekas pengerusi bank tersebut, Tan Sri Sabbaruddin Cik juga dilaporkan mendakwa bank tersebut meluluskan tempoh bayaran selama 10 tahun tanpa sebarang faedah.

Beliau mendakwa, lembaga pengarah Bank Rakyat pada awalnya menolak tawaran tersebut, namun terpaksa bersetuju akibat campur tangan politik.

Menurut laporan itu, kontrak Sabbaruddin tidak disambung selepas April tahun ini ekoran bantahan ke atas keputusan tersebut.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .