Seorang ketua fakulti universiti tidak nampak tawaran yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta untuk mengambil alih Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan tidak menaikkan kadar tol selama 24 tahun, dapat ditunaikan.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam di kampus Universiti Nottingham Malaysia di Semenyih Ioannes YH Tang berkata tawaran oleh syarikat itu untuk tidak menaikkan kadar tol sehingga akhir perjanjian konsesi pada 2038, tidak mengambil kira kos penyenggaraan tinggi lebuh raya itu serta keperluan pembaikan, pertukaran atau membina semula lebuh raya yang merentasi keseluruhan Semenanjung Malaysia itu.
Tang ragu-ragu sama ada syarikat itu akan berada pada kedudukan untuk melaksanakan janjinya berdasarkan turun naik harga minyak, yang mempunyai kaitan secara langsung dengan harga bahan utama seperti bitumen, yang digunakan untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan.
Ini ditambah pula dengan kenaikan kadar mata wang yang tidak dapat dielakkan dalam tempoh 30 tahun itu.
"Tidak ragu-ragu lagi, kos penyelenggaraan akan sentiasa naik. Saya pasti apabila konsesi ditandatangani, ia sudah mengambil kira harga peningkatan kos secara menyeluruh.
"Penggunaannya (oleh pemandu kenderaan) memang tinggi di PLUS, jauh lebih tinggi daripada anggaran asal. Penggunaan yang lebih tinggi akan pasti meningkatkan kos penyelenggaraan," katanya.
Tang berkata ini tidak akan memberikan pengendali tol kedudukan mampan untuk mengekalkan kadar tol yang sama untuk tempoh lebih 30 tahun.
"10 tahun mungkin munasabah tetapi 30 tahun, sukar untuk menjangkakan sesuatu lebih daripada tempoh beberapa tahun.
"Jika terdapat penurunan mata wang utama, contohnya seperti yang berlaku semasa krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, yang boleh memusnahkan segala-galanya atau apa sahaja anggaran pertama yang dibuat," katanya.
Pada pandangan beliau, inilah 'bahaya besar' seseorang cuba untuk mengambil alih PLUS tanpa petunjuk yang jelas, sama ada mereka akan benar-benar dapat mengekalkannya.
"Jadi, tiada kenaikan tol, namun apa hasilnya? Ia mungkin meningkatkan aspek lain bagi mengimbangi tol yang tidak naik, dan ini sudah pasti perlu dipertimbangkan," kata Tang.
Beliau juga berkata akhirnya kerajaan perlu campur tangan untuk membaiki jalan raya dan orang ramai masih perlu membayar untuk itu.
"Saya tidak nampak bagaimana (tawaran pengambilalihan ini) akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang untuk rakyat," katanya.
Tang berkata jangkaan tiada kenaikan tol oleh syarikat itu ada cacatnya, dalam erti kata bahawa 'anda hanya boleh bertahan dalam tempoh beberapa tahun dan banyak andaian yang anda buat adalah salah apabila anda sampai ke tahap itu'.
Ia juga sukar untuk tempoh lebih daripada 10 tahun berdasarkan apa yang berlaku di seluruh dunia, terutama di China.
"Sebagai contoh, China sedang membina lebih banyak jalan raya, dan jika mereka mula membeli lebih banyak bitumen, secara automatik kita akan terjejas teruk. Ia sama seperti susu tepung bayi, apabila China mula membeli segala-galanya, kita semua perlu membayar dua kali ganda atau mungkin tiga kali ganda. Permintaan adalah di luar kawalan kita."
Bitumen ialah komponen utama untuk menyelenggara lebuh raya, dan merupakan hasil sampingan daripada pemprosesan petroleum, dan oleh itu dipengaruhi oleh pasaran minyak. Harganya telah meningkat daripada RM1,650/mT pada Ogos 2010 kepada RM2,080/mT bulan lepas.
Banyak perkara perlu diambil kira dalam penyenggaraan lebuh raya, termasuk kos am bahan dan kos hari ke hari, termasuk penyelenggaraan tetap dan berkala.
Mengekalkan kecerunan merupakan komponen utama di Malaysia serta pembersihan longkang dan pemotongan rumput merupakan kerja-kerja penyelenggaraan utama bagi mengelak longkang tersumbat yang boleh membawa kepada kegagalan cerun, masalah biasa di Malaysia.
sumber
No comments: