Model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua pembangkang itu berkata, kerajaan perlu membincangkan beberapa perkara asas dalam Islam terlebih dahulu seperti masalah ajaran sesat dan anti hadis sebelum membawa hudud ke satu peringkat yang lebih serius.
“Kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh pertikai undang-undang Al-Quran. Saya bukan Mahathir. Kita kena terima. Hal ini harus difaham. Kalau tunggu fatwa, semua fatwa kena pada kita.
“Curi duit tak nampak, kenyataan Mahathir tak nampak, Mahathir sokong Kassim Ahmad anti hadis tak mengapa. Kita yang kena,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Himpunan Reformasi 2.0 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyelar tindakan pihak berkuasa agama menangkap dan membicarakan Kassim kerana tindakan tersebut mencalarkan identiti Malaysia sebagai negara Islam sederhana.
Bekas perdana menteri itu berkata, dalam keadaan Kassim yang bertongkat dan tidak sihat, pegawai agama Islam dan dibantu polis tergamak menahan aktivis berusia 80 tahun itu.
“Saya sedih. Saya sedih kerana Kassim umur 80 tahun, bertongkat dan sakit ditangkap dan akan dibicara. Kenapa Kassim? Kenapa tidak orang lain? Yang menghina agama Islam di Malaysia ramai,” tulisnya dalam artikel di blognya chedet.cc.
Anwar berkata, hudud hanya dapat dilaksanakan sekiranya pembaharuan dilakukan terhadap jabatan agama Islam dan kaedah penguatkuasaan.
Katanya, hudud perlu dilaksanakan secara telus menepati kehendak ajaran Islam sebenar dan tidak memberi kepentingan politik kepada pihak tertentu.
“Kalau dilaksana digunakan undang-undang, curi RM500 juta dari Tan Sri naik Tun. Kamu curi motor, tangan dipotong. Dalam Islam bukan begitu.
“Semua perubahan baru kita kena bincang undang-undang itu macam mana. Saya saman Saiful, empat tahun Mahkamah Syariah tak sidang pun,” katanya merujuk kepada bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Anwar yang baru tiba selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang berkata, pelaksanaan hudud di Kelantan akan diteliti dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan memberikan penjelasan.
“Itu yang kita jemput menteri besar Kelantan untuk datang dalam mesyuarat kita mencari muafakat supaya (hudud) tidak digunakan untuk menekan sesiapa dan menjamin undang-undang itu difahami,” katanya.
Berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Anwar mempertikaikan senarai kargo pesawat itu yang masih belum disiarkan kepada umum.
Katanya, ekoran daripada sikap kerajaan yang enggan memberikan lebih maklumat mengenai pesawat itu, Malaysia terus mendapat kecaman serata dunia.
“Mengapa cuba tutup maklumat itu? Apa barang yang dibawa? Saya tanya mana dia senarai kargo? Setiap kali ada penerbangan dikomputerkan. Bila tanya, sampai hari ini tak dapat jawab.
“Sekarang saya tuduh, kamu sengaja menyembunyikan bukti. Ada bukti, kamu padamkan. Dia kata ada manggis 4 tan tetapi tiada musim. Di Thailand pun bukan musim manggis,” katanya yang berpakaian serba hitam malam tadi.
Hujung bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan selain empat tan manggis yang dibawa di dalam pesawat itu, ia turut memuatkan bateri lithium-ion.
Katanya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi ia diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.
“Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah barangan berbahaya,” katanya.
Sumber T-M-I
No comments: