» » Rakyat tidak terjerat isu perkauman parti politik


Sentimen perkauman yang dimainkan oleh parti politik tidak akan menjerat rakyat berbalah antara satu sama lain, dedah salah seorang anggota seketariat Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Shamsul Amri berkata, isu perkauman dimainkan bertujuan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Ia sengaja untuk mobilisasi politik.

"Perkara ini bukan baru memandangkan parti politik adalah berasaskan parti kaum," kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri dialog "Multi-etchnicity and National Identity" anjuran Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur.

Shamsul Amri, yang juga timbalan pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) mendedahkan sepanjang 20 sesi pendengaran awam dengan orang ramai yang diadakan, rakyat rata-rata membangkitkan lebih banyak isu mengenai polisi kerajaan dan pembangunan.

"Pandangan awal saya daripada 20 pertemuan yang kami adakan, kami dapati kurang orang ramai yang berbincang tentang etnik seperti dibincangkan dalam media.

"Mereka banyak berbincang tentang pendidikan atau pelaksanaan polisi kerajaan dan jurang bandar serta luar bandar," kata beliau.

Selepas pilihan raya umum ke-13, bahang ketegangan isu perkauman dan agama meningkat, malah inisiatif penubuhan MKPN November tahun lalu juga berakar daripada kemelut tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan MKPN akan memainkan peranan dalam mengesyorkan "blue print" penyatuan nasional kepada kerajaan.

Perpaduan nasional di kalangan masyarakat teruji apabila timbul beberapa isu yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

Isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian di Semenanjung Malaysia menyebabkan majoriti penganut Kristian di Borneo tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beberapa siri himpunan kumpulan berhaluan kanan yang berbentuk perkauman dan menghina pemimpin pembangkang juga dibuat secara terbuka.

Shamsul Amri menyifatkan rakyat tidak mempunyai pilihan dengan menjadikan parti berasas kaum memerintah negara.

"Kerana mereka tiada pilihan.

"Jika kamu Melayu dan mempunyai nilai ekonomi yang mengikatnya, bagaimana kamu nak kata tidak berminat?" kata beliau.

Umno, sebuah parti dominan berasaskan kaum Melayu, memegang tampuk kuasa bersama parti lain dibawah nama Perikatan sejak kemerdekaan Malaya pada 1957.

Pada 1973, perikatan parti yang berasaskan kepada kaum digantikan dengan nama BN.

Menurut Shamsul Amri, rata-rata peserta dalam sesi menyatakan rasa tidak yakin terhadap pemimpin yang dipilih mampu bercakap bagi pihak mereka.

"Orang ramai mahu lebih banyak konsultansi seperti ini diwujudkan oleh kerajaan. Mereka tidak percaya kepada wakil rakyat, BN atau Pakatan tidak mampu bercakap bagi pihak mereka.

"Ia kerana ahli politik mempunyai kepentingan untuk dijaga," kata beliau.

Seramai 5,800 peserta mengikuti sepanjang sesi anjuran MKPN yang melibatkan segenap lapisan masyarakat tidak mengira usia, kaum dan agama.

"Terdapat kira-kira 5,800 peserta daripada pelbagai kumpulan pemuda, kaum ibu, rukun tetangga, orang politik datang ke dialog kita.

"Mereka berdialog sesama sendiri dan menyuarakan pendapat mereka," kata beliau.

Shamsul Amri juga berkata, kerajaan sepatutnya mengajar rakyat memahami kepelbagaian dan bukan sekadar hanya menyambutnya.

"Malaysia belanjakan banyak wang untuk kebudayaan dan pelancongan untuk menyambutnya tetapi belanja sedikit sahaja untuk mengajar mengenai pemahaman kepelbagaian," kata beliau.

Sementara itu, Profesor Dr Mansor Mohamad Noor dari UKM yang ditemui semasa forum tersebut berkata, rata-rata orang ramai mahu kedua-dua pemimpin sama ada daripada BN atau Pakatan menjadi pemimpin nasional bukan hanya untuk parti.

"Mereka mahu pemimpin nasional selepas pilihan raya tapi ahli politik pula mahu partikan negara," kata Mansor kepada The Malaysian Insider.

MKPN diterajui Pengerusi Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman dan dibantu timbalannya, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga merupakan naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Seramai 27 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang dilantik mengganggotai majlis tersebut antaranya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, Ahli Lembaga Pengarah Sisters In Islam Datin Paduka Marina Mahathir dan selebriti Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .