Sebuah syarikat yang dituduh mendapat perakuan dari perdana menteri untuk menerima dana RM100 juta menerusi geran kajian dan penyelidikan (R&D) didakwa menerima tambahan RM50 juta lagi daripada satu lagi kementerian.
MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) menerima tambahan RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha).
Menurut Rafizi, butiran itu terkandung dalam satu surat bertarikh 17 April 2014 kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu yang turut menyebut tentang geran RM100 juta dari Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) sebelum ini.
"Ini bermakna, sebuah syarikat swasta iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd berjaya mendapat peruntukan dana awam sebanyak RM150 juta dari dua kementerian berbeza untuk mengusahakan projek komersialnya.
"Malah, jumlah RM150 juta ini melebihi dari kos projeknya yang dimaklumkan kepada Mosti iaitu RM130 juta," kata Rafizi.
Dakwaan itu dibuat hampir serentak ketika timbalan menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menafikan menganugerahkan geran RM100 juta kepada syarikat itu.
Beliau malah mengedarkan tiga jilid buku tebal yang memberi maklumat teliti mengenai kesemua 4,566 penerima dana bernilai RM 2.9 bilion bawah MOSTI dalam Rancangan Malaysia ke-9.
Malaysiakini hari ini sekali lagi menghubungi NSERC untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Rafizi namun masih belum menerima sebarang jawapan.
Sumber M-K
No comments: