» »Unlabelled » Pendirian PAC langkah proaktif


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim  menyifatkan pendirian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu memanggil kementerian untuk memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1, yang dibentang minggu lalu, sebagai langkah proaktif bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Beliau berkata langkah itu juga akan memperbaiki persepsi dan tanggapan sesetengah pihak kononnya ada unsur ingin menutup kelemahan yang disenarai dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Sambil menegaskan bukan semua isu yang disentuh Ketua Audit Negara adalah kesalahan berunsur rasuah, Razali berkata keputusan PAC juga akan membantu fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini kerana jika dahulu Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan setahun sekali, sekarang tiga kali setahun. Saya percaya langkah PAC boleh bantu kita," katanya kepada pemberita di Bangi hari ini.

Razali berkata PAC merupakan badan relevan bagi membuat penelitian ke atas agensi yang didapati melanggar prosedur kewangan dan sebagainya sebelum disyor kepada SPRM, jika perlu.

"Oleh kerana PAC menjalankan siasatan secara terbuka, maka proses ini dapat mengelakkan persepsi bahawa ada usaha mahu menutup kelemahan. Kita mengalu-alukan tindakan PAC," katanya.

Terdahulu, Razali menyempurnakan penutupan Forum dan Penyampaian Sijil Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri Keenam di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), yang menyaksikan 31 peserta menerima sijil tauliah.

Pada 7 April, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan memanggil lima kementerian bagi menjelaskan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentang di Dewan Rakyat.

Kementerian terbabit ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengesyorkan penilaian risiko dibuat ke atas program bantuan kewangan kerajaan bagi mengelak elemen ketirisan atau salah guna dalam mekanisme pengagihan.

Beliau berkata kerajaan perlu melihat aspek itu secara sistematik agar tidak disalah guna mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan.

"Dasar membantu rakyat tidak ada kelemahan, dasar memang baik (bagi rakyat). Tetapi masalahnya ialah di peringkat pelaksanaan... tetapi kalau tidak dibuat penilaian, risikonya ialah kerugian semasa pelaksanaan," katanya kepada pemberita pada majlis sama.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .