Putrajaya meluluskan pemberian dana berasingan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kepada NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC), syarikat yang sama dikatakan menerima geran RM100 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), menjadikan jumlah keseluruhannya RM150 juta, kata PKR.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan perkara tersebut berdasarkan rekod syarikat tersebut dalam satu surat kepada kerajaan negeri Terengganu bertarikh 27 Januari 2014.
"Selain daripada dana awam berjumlah RM100 juta di bawah geran R&D yang dikelolakan Mosti, NSERC juga dianugerahkan satu lagi dana berasingan berjumlah RM50 juta daripada daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
"Salinan surat daripada NSERC kepada Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) yang dilampirkan bersama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.
Semalam Rafizi mengemukakan bukti campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pemberian geran Mosti untuk membiayai projek komersil.
No comments: