Malaysia memberikan sepenuh komitmen dan keupayaan dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri berkata, insiden yang tidak dijangka itu juga menyaksikan misi pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang itu juga menjangkaui keselamatan negara.
"Malaysia menyerahkan segalanya untuk mencari pesawat itu, dan ketika ini, kami menerima bantuan daripada rakan-rakan kami dari seluruh dunia.
"Sejak misi pencarian bermula sebulan lalu, kita menyaksikan kapal laut China memasuki perairan Vietnam, kami berkongsi dan menerima data daripada radar tentera, meletakkan misi pencarian menjangkaui keselamatan negara," katanya, ketika merasmikan Forum Putrajaya di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib berkata, cabaran berkenaan juga dapat diselesaikan melalui bantuan rakan dari negara Asean.
"Tetapi mereka turut bergantung kepada hubungan di luar kerangka Asean. Tugasan kita seterusnya selain memperkukuh Asean ialah kerjasama keselamatan yang lebih besar," katanya.
Kajian Merdeka Center bagaimanapun mendapati lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam satu kajian bulan lalu percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat MH370.
Daripada 1,029 responden dalam kajian yang dijalankan Merdeka Center itu, 54% berkata Putrajaya tidak telus dalam memberi maklumat mengenai pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Dalam respon kepada soalan sama ada mereka menyangka Putrajaya jujur atau menyembunyikan sesuatu mengenai MH370, 54% daripada responden berpendapat Malaysia menyembunyikan maklumat, 26% berkata kerajaan jujur manakala 20% tidak pasti.
Sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac, dakwaan ini dibuat beberapa kali oleh ahli keluarga daripada China bagi 229 penumpang dalam pesawat Boeing 777-200ER itu.
Selepas lebih lima minggu pesawat hilang, ternyata rakyat Malaysia juga cenderung mempercayai Putrajaya tidak jujur berhubung maklumat berkenaan pesawat itu.
Sekali lagi, responden kaum Cina hampir sebulat suara tidak memberi komen yang positif terhadap kerajaan persekutuan yang dipimpin BN.
Angka tinjauan menunjukkan sedikit majoriti daripada responden India dan Melayu juga mempercayai Putrajaya menyembunyikan maklumat.
Kali ini, responden daripada kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bersatu dalam mempercayai Putrajaya kurang jujur dalam mendedahkan maklumat berkenaan MH370.
Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut etnik, jantina dan umur, serta meliputi semua kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Kajian itu dijalankan daripada 24-30 Mac dengan pemilihan responden berkadar dengan penduduk di setiap kawasan Parlimen.
Berhubung prestasi menteri Malaysia dalam menangani krisis MH370, 21% daripada responden berkata mereka sangat tidak berpuas hati manakala 19% sangat berpuas hati.
Walaupun Putrajaya menerima pelbagai kritikan daripada pihak tempatan dan antarabangsa sejak krisis MH370 itu, 51% responden berkata mereka yakin terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, 45% responden berkata mereka hilang keyakinan terhadap Putrajaya selepas krisis MH370.
No comments: