Pihak berkuasa yang menerima isyarat yang meyakinkan Isnin lepas berhubung pesawat MH370 kini gagal mengesan semula isyarat itu.
Ketakutan kepada bateri penentuan kedudukan kecemasan mati semakin kuat, jam demi jam, ketika kapal Australia yang menunda pengesan kotak hitam dari Amerika Syarikat mencari pesawat MH370, lapor South China Morning Post.
Isnin lalu pihak berkuasa menyifatkan ianya sebagai penemuan penting dalam pencarian sebulan kapal terbang itu.
Australia mendedahkan kapal perangnya Ocean Shield mengesan dua kejadian akustik di utara kawasan pencarian.
Tetapi, kini sudah lebih 40 jam sejak pengesanan transmisi itu.
Kawasan di mana penyiasat mengesan isyarat “ping” yang dipercayai daripada MH370 juga menjadi tempat di mana pesawat itu memberikan isyarat yang tidak jelas, lapor The Daily Telegraph sebelum ini.
Laporan itu menyebut, hubungan terakhir dengan satelit (half-handshake) adalah saat di mana pesawat itu kehabisan minyak dan menjunam ke dalam lautan.
Kawasan itu sama dengan analisis yang dibuat beberapa hari lalu, di mana ia menunjukkan hubungan terakhir dengan satelit berlaku, katanya.
Ini disahkan selepas beberapa isyarat “ping” dikesan di kawasan yang jauh ke selatan Lautan Hindi itu, di mana pihak berkuasa yakin ia petunjuk yang paling berwibawa sehingga kini dalam pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru yang hilang daripada imbasan radar 8 Mac lalu.
Bateri kotak hitam itu boleh bertahan 30 hari sekurang-kurangnya dan kini sudah masuk hari ke-32 sejak pesawat tersebut hilang dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.
"Tidak ada perhubungan atau sebarang transmisi dan kita perlu sambung lagi untuk beberapa hari, sehinggalah tanpa ragu bateri itu mati," kata ketua pasukan pencari bersama Ketua Marshal Udara (B) Angus Houston hari ini.
Katanya, kenderaan automatik bawah air, Bluefin-21, yang dilengkapkan dengan kemudahan sonar dan kamera, tidak akan digunakan sehingga transmisi ditemui untuk menentukan kawasan dasar laut yang perlu dicari.
Menteri Pertahanan Australia, David Johnston berkata hari ini, isyarat itu "masih petunjuk paling positif yang kita ada".
"Kami masih sepenuhnya membantu rakan kita dari Malaysia untuk mengenal pasti kawasan kehilangan pesawat ini dan membawa mereka sedekat mungkin kepadanya," kata beliau sebagaimana dilaporkan SCMP.
"Kami keluar lagi hari ini untuk memperkukuhkan penemuan itu," katanya.
Houston juga mengingatkan bahawa kapasiti kapal selam yang mencari dalam air hanya 4,500 meter manakala zon carian mempunyai kedalaman yang hampir sama.
Sumber T-M-I
No comments: