Kegagalan mengesan isyarat daripada perakam kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 membangkitkan kebimbangan jangka hayat baterinya mungkin sudah tamat tempoh, lapor Associated Press (AP).
Empat isyarat didengar antara 5 dan 8 April, tetapi tidak ada petunjuk lain yang disahkan daripada pengesan ping yang diperolehi oleh kapal tentera laut Australia, Ocean Shield.
Pakar penerbangan, Geoffrey Thomas memberitahu AP, tambahan isyarat yang dikesan boleh membantu lagi pencarian itu.
“Jangka hayat bateri pada isyarat itu sepatutnya boleh bertahan untuk 30 hari. Kita berharap ia mungkin bertahan untuk 40 hari.
“Bagaimanapun, sudah empat atau lima hari berlalu sejak ping kuat yang terakhir. Apa yang mereka harapkan ialah untuk mendapat satu lagi, atau dua lagi ping bagi membolehkan mereka mengecilkan kawasan pencarian,” katanya.
Pihak berkuasa kini memperluas pencarian visual pesawat yang hilang itu susulan kegagalan untuk mengesan isyarat lanjut.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, sebanyak 11 pesawat tentera, satu pesawat awam dan 15 kapal akan membantu dalam operasi mencari hari ini, iaitu hari ke-38 sejak MH370 hilang pada 8 Mac.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merangka kawasan pencarian visual yang merangkumi kira-kira 47,644 kilometer persegi. Pusat kawasan pencarian itu termasuk kira-kira 2,200km utara barat Perth, menurut kenyataan JACC.
Ocean Shield yang memperolehi kira-kira empat isyarat minggu lalu, terus memberi tumpuan dengan pengesan ping untuk mencari isyarat berkaitan dengan kotak hitam pesawat itu.
Dua isyarat yang didengar kapal itu dikenal pasti sebagai konsisten dengan isyarat yang memancar dari kota hitam. Selasa lalu, dua lagi ping dikesan di kawasan yang sama.
Turut menyertai Ocean Shiled ialah pesawat peninjau AP-3C Orion dan kapal oseanografi, HMS Echo.
Sebaik sahaja pegawai yakin tidak ada lagi bunyi yang akan didengar, robot dasar laut akan dihantar untuk mencari bangkai pesawat berkenaan secara perlahan-lahan.
Mencari data penerbangan dan perakam suara kokpit adalah penting untuk membolehkan penyiasat menyelesaikan misteri MH370, yang lesap pada 8 Mac. Data daripada kokpit dan perbualan di kalangan anak kapal mungkin dapat memberikan jawapan mengenai apa yang berlaku pada saat akhir sebelum pesawat itu terhempas.
Memetik kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, CNN melaporkan sehingga data daripada kotak hitam MH370 dapat ditemui, adalah sukar untuk penyiasat menyatakan semua 12 anak kapal dan 227 pesawat tidak terbabit dalam kejadian itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebelum ini berkata semua yang berada dalam pesawat itu bersih daripada siasatan.
“Bagaimanapun, beliau juga tidak menyatakan nama dalam senarai bersih daripada kemungkinan rampasan, keganasan, masalah psikologi atau peribadi,” kata Hishammuddin.
Selepas menganalisis data satelit, pegawai percaya pesawat itu terbang ke arah lain tanpa sebab yang diketahui dan jatuh di selatan Lautan Hindi di pantai barat Australia.
Penyiasat sedang mencuba untuk mengenal pasti apa yang berlaku kepada pesawat itu dengan memberi tumpuan kepada empat kemungkinan iaitu rampasan, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi semua yang berada dalam pesawat itu.
Sumber T-M-I
No comments: