Dua wakil Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), selaku agensi mengawal selia industri penerbangan negara, akan menyertai operasi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth, Australia dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu, pengerusi atau wakil tiga jawatankuasa khas peringkat kementerian juga akan ke Perth dalam masa terdekat untuk membincangkan persediaan yang perlu dilakukan pihak Malaysia dalam operasi pencarian kotak hitam MH370 dan selepas penemuannya.
"Dua wakil daripada DCA sudah pun saya minta diserapkan dalam JACC... saya juga memberitahu (Ketua Penyelaras JACC, Marsyal Udara (B)) Angus Houston semalam bahawa kemungkinan besar dalam masa terdekat ini, sama ada pengerusi jawatankuasa ini atau wakil mereka akan ke Perth untuk berbincang dengan pihak JACC untuk melihat apa lagi yang perlu kita buat," katanya.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah, klia2 hari ini.
Katanya operasi mencari yang diketuai Australia itu kini sedaya upaya berusaha untuk menjejak kotak hitam pesawat MH370 yang diharapkan dapat membantu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat itu.
Baru-baru ini, untuk memperkemas dan memantapkan operasi mencari MH370 yang sedang dijalankan, kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.
Jawatankuasa Waris Penumpang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Jawatankuasa Pergerakan Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia begitu terbuka dan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kehilangan pesawat MH370 yang kini dilabelkan sebagai misteri dalam sejarah penerbangan dunia.
JACC sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia itu memasuki hari ke-36 hari ini.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Sumber T-M-I
No comments: