Peguam, Datuk Zainul Rizal Abu Bakar yang mewakili anak bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini, laporan penilaian harta dan aset anak guamnya yang dibuat oleh akauntan bekas isterinya yang juga plaintif kes itu, Shahnaz Majid bersifat berat sebelah.
Dalam soal balas kepada akauntan itu, Andrew Heng, Zainul berkata tiada usaha dilakukan untuk merujuk kepada pihak defendan ketika menyiapkan laporan penilaian harta berkenaan menyebabkan ia berat sebelah.
Heng, akuantan yang diupah oleh Shahnaz bagi menyiasat kekayaan dan status kewangan bekas suaminya itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang menyatakan laporan tersebut berat sebelah.
Zainul turut bertanya kepada Heng mengapa sebelum ini beliau tidak pernah merujuk kepada anak guamnya untuk mendapatkan maklumat.
"Saya tidak ada akses kepada pihak defendan, Yang Arif," kata Heng ketika disoal balas.
Dalam perbicaraan tuntutan RM400 juta itu sebelum ini, Heng dalam keterangannya berkata, aset Mahmud Abu Bekir bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.
Perbicaraan bersambung bulan depan.
Shahnaz, kakak kepada penyanyi popular Datuk Sheila Majid dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada Januari 1992 dan mempunyai seorang anak kini berusia 20 tahun, Raden Murya. Mahmud Abu Bekir memfailkan perceraian pada Mei 2011.
Bagaimanapun, peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader membantah soalan tersebut ditujukan kepada Heng dengan menyatakan ia tidak masuk akal.
"Saya bantah, Yang Arif soalan tersebut langsung tidak masuk akal bagaimana mahu rujuk pada defendan, sedangkan arahan mahkamah untuk menghantar dokumen kepada pihak plaintif juga diendahkan," katanya.
Hakim Muhd Abdul Karim Wahab menolak bantahan tersebut dan Zainul dibenarkan untuk meneruskan soalannya.
Heng berkata, laporannya itu adalah bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak kerana ia dilakukan berdasarkan hasil siasatan melalui dokumen awam (public domain) .
Antara lain, Zainul juga turut bertanya mengenai kerahsiaan laporan tersebut apabila mempertikaikan bagaimana ia kini tersebar meluas pada media.
Zainul berkata, melalui laporan tersebut Heng membuat akuan bahawa laporan untuk plaintif hanya boleh digunakan dalam mahkamah namun tidak boleh diulang cetak untuk diberikan kepada pihak lain tanpa kebenaran syarikat.
Heng menafikan dengan menyatakan tidak pernah memberikan kepada mana-mana pihak laporan tersebut.
Peguam Shahnaz, kemudiannya berkata kepada hakim bahawa situasi tersebut adalah berbeza kerana laporan tersebut dibicarakan di dalam mahkamah yang dihadiri oleh media.
Hakim menangguhkan perbicaraan setelah mendapati laporan penilaian harta yang diterima defendan tidak ditandatangani oleh rakan kongsi firma Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd.
Namun, Karim menolak kenyataan Zainul yang menyatakan pihak defendan cuai dalam menguruskan dokumen apabila hanya plaintif saja tidak mempunyai laporan yang tidak mempunyai tandatangan.
Sumber T-M-I
No comments: