Unit keselamatan yang berumur setahun di Sabah mempertahankan diri mereka sebagai membuat kerja dengan baik untuk menarik pelancong ke negara ini walaupun berlaku beberapa kejadian penculikan di pusat pelancongan pulau di sana, dengan mendakwa pengkritik tidak memahami suasana di kawasan paling timur di Malaysia itu.
Pembangkang mendakwa Eastern Sabah Security Command (Esscom) yang berbelanja besar sehingga RM300 juta sebagai "lawak April fool' kerana kegagalan menjaga keselamatan sempadan daripada penculikan selepas ditubuhkan ekoran pencerobohan 235 militan Filipina pada Februari 2013, dan menuntut ia dibubarkan saja.
"Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan sedangkan anda tidak memahami situasi," kata Ketua Pengarah Esscom Datuk Muhammad Mentek (gambar) kepada The Malaysian Insider minggu ini.
"Menjadi tanggungjawab Esscom untuk memastikan tidak ada lagi sebarang pencerobohan sebagaimana yang berlaku di Lahad Datu sebelum ini," katanya.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz juga menyifatkan keselamatan di Sabah sebagai “tidak memuaskan”, ciri utama yang diperlukan untuk pusat pelancong yang dianggap antara yang terbaik di dunia itu.
Malaysia menerima 25.72 juta pelancong pada 2013, menghasilkan RM65.44 bilion. Pada 2013, 3.8 juta pelancong melawat Sabah, dengan 1.09 juta adalah pelancong antarabangsa dan negeri itu dijangka akan menerima lebih ramai pelancong kerana tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia.
Namun kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang pada 8 Mac menjejaskan kedatangan pelancong khasnya dari China kerana dua per tiga daripada penumpangnya adalah dari negara itu.
Ramai pelancong China membatalkan kedatangan mereka ke Malaysia dan ia akan menjejaskan kedatangan mereka tahun ini kerana pada 2013 pelancong China adalah 7%.
Mohammad menjelaskan penculikan di Pulau Pom Pom tahun lepas dan Singgahmata Reef Resort di Semporna minggu lalu adalah tindakan penjenayah.
Persoalan berbangkit terhadap keberkesanan Esscom ekoran dua penculikan itu di mana pelancong asing dibawa lari oleh kumpulan bersenjata, dan ada pandangan mengatakan keselamatan di Sabah adalah lebih terjamin jika terletak terus di bawah Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pertahanan.
Ekoran kejadian minggu lalu, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) telah mencadangkan agar Esscom dibubarkan, dengan menyifatkannya sebagai membazirkan duit rakyat.
Sesetengah mereka mempertikaikan mengapa Mohammad, seorang pegawai awam mengetuai Esscom, mempersoalkan bagaimana seorang pegawai awam mahu mengarahkan tentera dan polis.
Mohammad berkata, Esscom sebuah organisasi baru dan masih muda.
"Serupa macam bina rumah, tidak boleh disiapkan satu hari sahaja," katanya.
"Membina rumah juga mengambil masa, diikuti ubahsuai dan melengkapkan perabut," katanya sambil menambah, keajaiban tidak berlaku dalam masa satu hari.
Mohammad menjelaskan, beliau tidak memberikan arahan kepada tentera dan polis secara langsung, pengarah berkaitan dalam Esscom berurusan dengan agensi penguatkuasaan.
Katanya, Datuk Abdul Rashid Harun pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, berurusan dengan polis kerana beliau adalah pegawai kanan polis manakala Mejar Jeneral Datuk Abdul Halil Jalal, pengarah Bahagian Pertahanan, berurusan dengan pasukan tentera kerana beliau adalah pegawai tentera.
Mohammad juga mempertikaikan angka yang diberikan oleh Pakatan kerana ia ditokok tambah.
"Mana datangnya angka RM300 juta untuk penubuhan Esscom? Angka sebenar adalah RM2.94 juta untuk membina ibu pejabat Esscom," kata Mohammad.
"RM200 juta dibelanjakan semasa Ops Daulat apabila pasukan keselamatan dihantar ke Lahad Datu untuk menangani pengganas Tentera Diraja Sulu."
Malah peruntukan RM75 juta juga tidak tepat, kata Mohmmad, yang berkata Esscom hanya menerima RM7 juta untuk perbelanjaan operasi.
"Jumlah RM75 juta itu pada Kementerian Dalam Negeri," kata Mohammad, "bukan dengan Esscom."
"Kami tidak mempunyai peruntukan untuk membeli kelengkapan kami sendiri," katanya.
Pada bulan November tahun lalu, warganegara Taiwan Chang An Wei diculik semasa serbuan di Pulau Pom Pom dekat Semporna.
Dalam kejadian itu, ahli perniagaan Taiwan Li Min Hsu, 57, terbunuh apabila kumpulan bersenjata itu melepaskan tembakan.
Chang dibebaskan Disember lalu, 36 hari selepas diculik, selepas perundingan dibuat dengan penculiknya.
Khamis lalu, dua wanita dari China dan Filipina, diculik oleh kumpulan bersenjata dari Singgahmata Reef Resort dekat Semporna.
Gao Hua Yuan, 29, dan Marcy Dayawan, 40, pekerja Filipina dibawa lari ke ibu pejabat kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam sidang media di lobi Parlimen semalam berkata, Esscom ditubuhkan 1 April tahun lepas dan penculikan ini berlaku beberapa jam selepas sambutan satu tahunnya.
"Ia umpama gajah putih. Ia memberikan Sabah dan Malaysia rasa selamat yang palsu. Apa guna kita mempunyainya kalau tidak berguna?" katanya.
Esscom meliputi 1,400 km pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.
Ia ditubuhkan bulan Mac tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas pencerobohan Lahad Datu oleh militan Sulu.
Tujuannya adalah untuk mempertingkatkan keselamatan maritim di kawasan timur Sabah dan menghalang kegiatan pengganas di perairan Sabah.
Lim berkata, Kabinet perlu bersidang hari ini untuk membincangkan perubahan Esscom.
"Tidak berguna timbalan perdana menteri mengarahkan pihak keselamatan mempertingkatkan usahanya kerana dengan struktur yang ada jelas ia hanya gajah putih.
"Ketua pengarah perlu diberikan kuasa sepenuhnya tanpa mengira ia dari Sabah atau pejawat awam," kata Lim.
Sumber T-M-I
No comments: