Kerajaan Malaysia komited untuk mengambil langkah perlu bagi melakukan penambahbaikan terhadap dua isu yang dekat di hati rakyat Malaysia - pendidikan dan keselamatan - bagi menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.
Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) kepada diaspora Malaysia di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat, yang masih mengikuti perkembangan di tanah air dan memberikan maklum balas berhubung dua perkara itu.
Muhyiddin, semasa menjawab soalan hadirin berhubung pendidikan di Malaysia pada majlis makan malam, menegaskan pendidikan sentiasa dinamik dan mengalami banyak perubahan yang memerlukan penyesuaian dilakukan sewajarnya.
"Kami perlu lihat semula apa yang kami telah terapkan bertahun-tahun lamanya dan sudah tentu tidak sabar untuk melihat bagaimana sistem pendidikan kami berdepan dengan persekitaran global yang sentiasa berubah," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.
Beliau berkata sungguhpun Malaysia telah mencapai tahap pencapaian tertentu dalam aspek pendidik, terdapat maklum balas yang menyatakan ia "masih belum cukup baik".
"Terdapat jangkaan tinggi terhadap apa yang kami lakukan dan ini termasuk pendidikan. Kami perlu menelitinya semula," katanya.
Memberikan contoh penguasaan Bahasa Inggeris, Muhyiddin berkata banyak pihak mengakui tahap bertutur dan memahami bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah agak baik namun mereka menekankan keperluan dipertingkatkan lagi.
Timbalan Perdana Menteri turut berkongsi dengan hadirin bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah membantu menambah baik elemen asas sistem pendidikan manakala Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara memberi penekanan terhadap aspek pengantarabangsaan secara komprehensif bagi menjadikan negara hab pengajian tinggi serantau.
Beliau berkata Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam World Education Service Report dari aspek destinasi pilihan bagi pengajian tinggi dengan jumlah pelajar antarabangsa meningkat kepada kira-kira 93,000 ketika ini berbanding 86,000 pada 2010.
Muhyiddin berkata PPPM bukan sahaja bertujuan menyediakan pelajar Malaysia untuk menghadapi cabaran masa depan dan global tetapi juga membantu menerapkan nilai-nilai positif dan perpaduan.
"Dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, perlu ada interaksi lebih baik dalam kalangan pelajar kita dan ini boleh dipupuk menerusi program seperti sukan, kebudayaan dan perpaduan," katanya.
Berhubung aspek keselamatan, Muhyiddin berkata lebih banyak perlu dilakukan dalam usaha memerangi jenayah walaupun polis telah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah secara signifikan menerusi tindakan tegas termasuk "Ops Cantas".
Beliau berkata walaupun kadar jenayah mencatatkan penurunan ketara, namun usaha memerangi jenayah terus menjadi fokus utama bagi meningkatkan tahap keselesaan negara.
Katanya sungguhpun jumlah jenayah melibatkan pelajar asing adalah rendah, wujud keperluan untuk menangani masalah itu termasuk memperketat proses permohonan pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.
"Walaupun terdapat rungutan kenapa mengambil masa lama untuk menilai permohonan pelajar berkenaan, kami perlu teliti dalam proses ini," katanya.
Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan dipertingkatkan untuk mencegah pencerobohan dan kes penculikan daripada berlaku di Sabah dan perairannya.
"Kami memandang serius kes (culik) baru-baru ini. Esscom perlu meningkatkan keupayaan pengawasannya dan memperoleh asest-aset baharu untuk meningkatkan keupayaannya," katanya merujuk kepada kes culik seorang pelancong China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina di Singamata Reef Resort di Semporna, Sabah baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut berkongsi kejayaan Malaysia menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah memberi manfaat kepada banyak orang termasuk 4.3 juta penduduk luar bandar.
Sebagai contoh, katanya kerajaan telah membina dan menyelenggara 4,000 kilometer jalan raya di kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak sejak 2010. - Bernama, 12 April, 2014.
Sumber T-M-I
No comments: