Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengajak umat Islam memikirkan hikmah di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang menunjukkan kekuasaan Allah.
Menerusi khutbah Jumaat hari ini, Jais berkata meskipun dengan teknolongi moden yang digunakan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu namun ilmu pengetahuan manusia tetap terbatas dalam bidang tertentu.
"Al-Quran mengingatkan kepada kita betapa terbatasnya ilmu dan pengetahuan kita. Betapa lemahnya manusia walaupun disertai dengan pelbagai teknologi moden, canggih dan terkini.
"Semuanya ini mengajak kita untuk mengambil iktibar, sedar dan menginsafi betapa besarnya kekuasaan Allah yang maha agung," katanya dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Menginsafi Musibah’.
Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendekatan dalam pencarian pesawat MH370 yang tertumpu di selatan Lautan Hindi mungkin akan dilihat semula jika maklumat hasil pencarian yang memasuki hari ke-42 tidak mencapai matlamat.
Katanya, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi semalam.
"Ini tidak bermakna kami akan hentikan operasi mencari tapi ia mengenai bagaimana pencarian dilakukan, mungkin juga di kawasan lain," katanya pada sidang media selepas majlis penghargaan sempena penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Kuala Lumpur semalam.
Jais turut mengecam usaha pencarian pesawat MH370 yang tidak berpandukan syariat Islam seperti menggunakan khidmat bomoh dan sebagainya.
Katanya, segala pertolongan hendaklah diminta hanya kepada Allah dan selain daripada itu hanya akan mengundang kemurkaan dan laknat Allah.
"Dalam usaha untuk merungkaikan kekusutan dan segala musibah yang menimpa kita, kita hendaklah merujuk dan mengadu kepada Allah.
"Bukan berharap kepada yang selain daripada Allah. Apatah lagi meminta daripada tukang tilik dan bomoh dengan melakukan acara dan ritual yang bertentangan dengan syariat-Nya.
“Mengharap dan meletakkan pergantungan kepada yang selain daripada Allah hanya akan mengundang kemurkaan dan laknat Allah kepada kita," katanya.
Bulan lalu, pendakwah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan perlakukan raja bomoh dalam usahanya mencari MH370 hanya akan lebih menyesatkan umat Islam jika ada yang terpedaya dengan upacara ritualnya itu.
Katanya, jika upacara sedemikian berlaku ketika zamannya hendak memeluk Islam suatu masa dahulu pasti hajatnya itu tidak kesampaian.
Ibrahim Mat Zin atau juga dikenali sebagai raja bomoh datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua kali sepanjang bulan lalu bagi mengadakan upacara ritual untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
Dia yang pada mulanya mengaku diupah oleh orang kenamaan mengubah kenyataannya mendakwa upacara itu dilakukan atas inisiatifnya sendiri.
Ridhuan berkata, antara pengajaran yang dapat diambil dari kehilangan pesawat MH370 adalah mengelakkan daripada menghidangkan makanan dan minuman haram untuk dihidangkan kepada penumpang di dalam pesawat.
"Mereka yang meminta arak itu, adalah di kalangan mereka yang biasa meminum arak. Cuba alihkan mereka dengan makanan tempatan yang lebih berkhasiat seperti cendol dan sebagainya,” katanya menerusi kolumnya yang diterbitkan Sinar Harian.
Selain memastikan arak tidak dihidangkan, Ridhuan mengingatkan agar pramugari pesawat diberi kebenaran untuk menutup aurat dan membiasakan anak kapal mengingati Allah di dalam pesawat.
“Tutuplah aurat pramugari jika mereka berkehendakkan. Lagipun untuk mengelakkan rambut jatuh ke dalam makanan. Tidak salah jika pramugari menutup aurat (Islam) dan pakaian bersopan untuk bukan Islam. Amat menjengkelkan apabila pakaian pramugari singkat dan jarang.
“Sebutlah kalimah Bismillah, Alhamdulillah, salam dan lain-lain. Perkara ini nampak kecil, tapi impaknya besar. Hati berasa lega berada dalam pesawat MAS dapat mendengar kalimah yang dikaitkan dengan Allah walaupun tidak semua melakukannya," katanya.




No comments: