"Walaupun keletihan, para penumpang sempat meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecekapan juruterbang sehingga berjaya mendaratkan pesawat dan semua penumpang terselamat.
"Perkara ini diluahkan mereka semasa saya berjumpa dengan mereka dan mereka amat berterima kasih kepada juruterbang pesawat itu," kata Hishammuddin kepada pemberita di Bangunan Pengurusan Penerbangan KLIA, Sepang.
Turut hadir pada sidang media itu ialah juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak, dan sebahagian anak kapal penerbangan berkenaan.
MH192, yang berlepas ke Bangalore, India, dengan membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapal, melakukan pendaratan kecemasan selepas pesawat itu mengalami masalah gear pendaratan.
Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 10.09 malam tadi. Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi ini.
Terdahulu, Hishammuddin berjumpa dengan 159 penumpang MH192 di Bangunan Satelit KLIA, Sepang, selepas pendaratan kecemasan pesawat itu.
Malah sebagai tindakan proaktif beliau mengarahkan Malaysia Airlines (MAS) untuk menyediakan laporan mengenai kejadian itu kepada kementeriannya dan jemaah menteri Rabu ini.
"Biarpun MAS di bawah Khazanah Nasional, namun pihak kami mahukan satu laporan lengkap disediakan secepat mungkin pada Rabu ini.
"Ini kerana sudah banyak insiden menimpa MAS termasuk kes kehilangan MH370 dan laporan itu perlu diserahkan kepada kementerian saya dan jemaah menteri," katanya.
Pada penghujung sidang media, Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang, Prakash Kumar bagaimanapun enggan ditemubual pemberita dan meninggalkan tempat itu bersama Hishammuddin untuk memasuki pejabat di bangunan berkenaan.
Nor Adam dilihat tersenyum ketika Hishammuddin menyarungkan topi juruterbang ke kepalanya sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun beliau kemudian memegang topi itu menutupi matanya yang merah berair, sebelum beredar dari tempat itu, meninggalkan pihak media.
Kejadian pendaratan cemas itu menjadi perhatian dunia di saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab kerana pesawat itu berpatah balik sebelum hilang pada 8 Mac lalu ketika ia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam ketika berada di Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian selepas diketahui kapal terbang itu melencong dari laluan, misi mencari digerakkan di sepanjang koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Berikutan analisis terhadap data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Sumber T-M-I
No comments: