Tanpa menyebut nama mana-mana penerbitan tertentu, Ahmad Zahid berkata akhbar berkenaan "memainkan sentimen" sehingga mencetus kemarahan warga tersebut ke atas pentadbiran Malaysia.
Dalam ucapannya di persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau meminta kepada pihak media terutama media cetak agar tidak mempengaruhi mangsa daripada negara China.
"Kerana apa yang berlaku, dari tulisan-tulisan kebanyakan akhbar-akhbar berbahasa Cina ini telah memainkan sentimen hingga membangkitkan kemarahan oleh saudara mara kepada mangsa MH370 di negara China," katanya.
Beliau berkata demkian ketika menyampaikan ucapan penggululungan titah ucapan diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, petang ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara yang terlibat dalam usaha mencari pesawat itu bermula dari 8 Mac lalu sehingga ke hari ini.
Menurut Zahid, tindakan akhbar itu tidak wajar memandangkan kehilangan pesawat itu adalah satu kemalangan dan perdana menteri serta pemangku menteri pengangkutan juga telah melakukan yang terbaik dalam menangani insiden itu.
"Perdana menteri telah sedaya upaya menggunakan segala kudrat dan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.
"Perlu diketahui bahawa peristiwa ini adalah satu kemalangan dan tiada siapa pun mahu kemalangan berlaku.
"Malah, pemangku menteri pengangkutan juga telah menggunakan segala daya usaha untuk menyelesaikan masalah ini.
"Malangnya akhbar-akhbar berkenaan telah memanipulasikan dan memainkan sentimen menyebabkan mangsa-mangsa itu terutama saudara-saudara mangsa itu telah menjadi marah terutamanya mereka yang berada di Beijing," kata Zahid lagi.
Semalam, keluarga penumpang rakyat China dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 berhimpun di luar Kedutaan Malaysia di Beijing untuk menuntut penjelasan syarikat penerbangan itu dan menuduh kerajaan Malaysia di Kuala Lumpur "berbohong".
Laporan menyebut kumpulan ahli keluarga penumpang itu melaungkan "Kerajaan Malaysia bohong pada kami" dan "Malaysia, kembalikan keluarga kami" sambil berarak secara aman dan mempamer kain rentang.
Sumber M-K




No comments: