Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengesahkan dengan Tentera Laut Vietnam bahawa tidak ada bangkai pesawat MH370 Malaysia Airlines yang ditemui di perairan negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tentera Laut Diraja Malaysia telah mengesahkan tidak ada bangkai pesawat ditemui," katanya kepada media hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan berita di Vietnam yang memetik seorang pegawai tentera laut negara itu sebagai berkata pesawat yang hilang itu telah terhempas di luar pantai selatan Vietnam berdasarkan laluan penerbangan dan data lain.
Jabatan Penerbangan Awam dan Kementerian Luar sebelum ini menafikan laporan tersebut.
Manakala Tentera Laut Diraja Malaysia pula telah berusaha untuk mengesahkannya dengan Tentera Laut Vietnam.
Pada ketika ini, tiada siapa yang pasti apa yang telah berlaku kepada pesawat MH370 itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan perdana menteri berkata usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang akan diperluaskan selepas usaha mencari di kawasan terakhir isyarat diterima tidak dapat dikesan.
Beliau berkata perbincangan bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan, dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta ketua-ketua agensi memutuskan supaya usaha mencari diperluaskan.
"Kami tidak menemui sebarang bangkai pesawat," katanya pada sidang media berkenaan kehilangan pesawat tersebut di Sepang hari ini.
"Doa dan ingatan kami bersama semua penumpang dan anak kapal selain anggota keluarga mereka," kata beliau.
Najib berkata bilangan aset yang dikerah untuk operasi mencari telah ditambah melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, termasuk empat pesawat Hercules C130, sebuah pesawat CN325, empat pesawat EC725 dan sebuah Beechcraft King Air.
Beliau berkata dua pesawat Bombardier dan dua helikopter Agusta kepunyaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta enam buah kapal Tentera Laut dan tiga kapal APMM turut digunakan.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang temasuk 12 orang kru, hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi.
Perdana menteri juga menemui anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang awal hari ini.
Beliau bertemu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Akaun Twitter Pejabat Perdana Menteri turut memaparkan gambar Najib bersama-sama anggota keluarga anak kapal pesawat itu.
Turut dirakam dalam foto itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pesawat B777-200 dalam penerbangan ke Beijing itu dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi, kira-kira dua jam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Penumpang meliputi rakyat 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia.
Penumpang lain ialah China/Taiwan (154), Indonesia (7), Australia (6), India (5), Perancis (4), Amerika Syarikat (4), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Belanda (1) dan Austria (1).
Sumber berita
No comments: