Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
"Penyebaran dari sumber diragui dan tidak diiktiraf bukan sahaja boleh menjejaskan siasatan tetapi boleh menghiris perasaan keluarga dan kenalan mangsa,” katanya.
"Dalam kes-kes tertentu yang dikira melampaui batas sehingga menyebabkan satu pihak berasa jelik terancam dengan fitnah, pihak tersebut boleh buat aduan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), maka tindakan undang-undang boleh diambil.”
Amaran terhadap penyebaran khabar angin menerusi media sosial itu dibangkitkan sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pagi ini.
Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dengan jumlah penumpang seramai 239 orang termasuk 12 anak kapal.
Tian Chua bidas Utusan
Sementara itu, MP Batu, Tian Chua (kiri) membidas akhbar milik Umno, Utusan Malaysiadi atas laporan yang disifatkan "tidak sensitif" kepada keluarga mereka yang menaiki pesawat itu.
Tian Chua berkata beliau kesal dengan laporan pada 10 Mac yang membuat andaian bahawa kehilangan pesawat itu mungkin berpunca daripada cubaan bunuh diri oleh juruterbang.
"Utusan tidak sepatutnya membuat tuduhan sebegitu yang memburukkan reputasi juruterbang dan pembantu juruterbang," katanya sambil menegaskan yang harian tersebut perlu menarik laporannya dan meminta maaf.
Beliau juga menggesa media agar tidak membuat andaian tentang insiden itu, dan mengambil kira perasaan ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
Sumber berita
No comments: