Pihak berkuasa Malaysia mengkaji setiap sudut dalam usaha merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang masuk hari kesembilan hari ini sejak lenyap pada awal pagi 8 Mac.
Pemeriksaan latar belakang peribadi tiap seorang dari 239 penumpang dan kru termasuk jurutera, yang mungkin mengadakan hubungan dengan pesawat sebelum ia berlepas, dapat membantu polis mengenalpasti motif di sebalik kehilangannya.
Barangkali ini dapat memberi sedikit sebanyak petunjuk kepada pihak berkuasa ke mana perginya pesawat berkenaan selepas ia dilencongkan dua kali dari laluan asal ke Beijing, China.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) berkata polis telah bercakap dengan anggota keluarga juruterbang MH370, Kapt Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pakar-pakar memeriksa simulator penerbangan di rumah juruterbang itu.
Beliau berkata polis juga memeriksa rumah pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27.
Boeing 777-200ER sedang dalam penerbangan ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 kru bila hilang dari imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi. Pesawat dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi.
Nasib penumpang masih tidak diketahui kerana pesawat belum dapat dikesan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Penerbangan MH370 telah melencong dari laluan asalnya dan terbang mengikut arah barat berbalik ke semenanjung Malaysia dan kemudian melencong ke haluan barat laut.
Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit ialah di satu daripada dua koridor yang mungkin - utara atau selatan.
Berdasarkan jangkaan penerbangan, pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu telah memasuki satu daripada koridor penerbangan iaitu koridor utara yang meliputi kawasan dari kira-kira sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan kira-kira dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Mengenai SAR, Hishammuddin berkata pegawai-pegawai Malaysia sedang menghubungi 15 negara di sepanjang koridor utara dan selatan berkaitan pesawat yang hilang itu.
"Pegawai-pegawai Malaysia sedang berunding dengan semua rakan tentang cara terbaik mengerahkan aset di dua koridor itu," kata Hishammuddin.
Sumber M-K




No comments: