Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini meluahkan perasaan kecewa selepas anak-anak buahnya tewas 1-2 kepada Wigan Athletic pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Pellegrini berkata, kekalahan itu berpunca daripada sikap pemain-pemain City yang terlalu mudah berpuas hati.
Selain mengulangi kekalahan kepada Wigan pada final tahun lalu, kekalahan itu turut menyukarkan impian City untuk memenangi gelaran trebel musim ini.
City menghadapi perlawanan itu dengan gembira selepas menjulang trofi Piala Liga dengan menewaskan Sunderland 3-1 di Stadium Wembley, 2 Mac lalu.
Namun, City ketinggalan 0-2 hasil jaringan Jordi Gomez dan James Perch masing-masing pada minit ke-27 dan 47, sebelum Samir Nasri menyumbat gol saguhati pasukan tuan rumah pada minit ke-68.
"Saya rasa, ini adalah persembahan terburuk yang kami tampilkan di sini (Stadium Etihad) sepanjang tahun ini.
"Kami gagal mendapat rentak untuk menentang sebuah pasukan yang hebat.
"Sebelum perlawanan lagi kami sedar akan bertemu sebuah pasukan yang sukar. Apabila kami cuba bangkit, ia sudah terlambat.
"Kami memenangi satu trofi dan kami kehilangan satu trofi. Kini, kami perlu meneruskan perjuangan dalam kempen Liga Juara-Juara dan Liga Perdana England. Kami ada banyak perlawanan yang perlu dihadapi bermula daripada sekarang.
"Pertama, kami perlu berusaha untuk menewaskan Barcelona dan selepas itu cuba meneruskan dan merampas kedudukan teratas Liga Perdana England setelah kami kekurangan tiga perlawanan," kata Pellegrini.
Skuad The Citizens akan berkunjung ke Sepanyol untuk menghadapi aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di Stadium Nou Camp awal pagi Khamis ini.
Bagaimanapun, City dijangka berdepan tugas sukar selepas tewas 0-2 kepada skuad The Catalan pada aksi pertama di Stadium Etihad, 18 Februari lalu .
Dipetik dari
No comments: