» »Unlabelled » MH370: Pencarian satu kerja yang sangat sukar


Pencarian MH370 dan kotak hitamnya bakal menjadi sangat sukar apabila ahli kaji bumi laut Australia yakin serpihan pesawat Malaysia Airlines itu terletak di atas rantaian dasar laut yang luas akibat gempa bumi dan jarang dikaji sebelum ini, lapor Sydney Morning Herald (SMH).

Ia menjadi lebih sukar apabila satu-satunya kapal Australia yang mampu membuat penilaian sehingga 3,000 meter dalamnya, RV Southerm Surveyor, dikeluarkan daripada bertugas pada Disember, kata akhbar harian itu.

Robin Beaman, dari James Cook University, memberitahu SMH, hanya sebahagian kecil dasar laut selatan Lautan Hindi yang termasuk dalam zon pencarian ini dipetakan secara terperinci.

Sehubungan itu, katanya, sebarang percubaan untuk mendapatkan bangkai memerlukan pemetaan 3D yang luas, mungkin oleh kapal-kapal dengan alat pengesan bunyi multibeam echo.

"Ia benar-benar masa yang tidak baik. Australia tidak mempunyai keupayaan pemetaan kedalaman ini," katanya yang dipetik oleh SMH.

Alat pengesan bunyi Multibeam echo boleh menghantar denyutan bunyi dalam bentuk kipas, yang boleh menentukan kedalaman dasar laut secara langsung di bawah kapal itu dan di sekitarnya, melalui corak yang dikenali sebagai 'swath'.

Beaman berkata, buat masa ini, pengganti RV Southerm Surveyor masih berada di Singapura menunggu untuk menjalani ujian di laut.

Beaman memberitahu SMH, kepingan pertama serpihan dikesan oleh satelit DigitalGlobe pada 16 Mac terletak kira-kira 60 kilometer ke barat daya zon aktif Tenggara India Ridge, rantaian gunung berapi bawah laut yang bersambung dari barat daya Australia ke selatan New Zealand.

Katanya, satu lagi objek dilihat oleh pesawat China adalah kira-kira 180 kilometer barat daya rabung itu, manakala serpihan yang diambil oleh pesawat Australia pada Isnin lalu ditemui kira-kira 200 kilometer ke timur laut rabung itu.

"Pada sekitar rabung itu, yang kemungkinan besar menjadi zon kemalangan berlaku, hampir tidak ada pemetaan selain daripada jalur yang ganjil," katanya kepada SMH.

Ia akan menjadi sukar untuk melihat serpihan tanpa peta lakar yang baik dan kapal kawalan jauh kerana rupa bumi yang kompleks serta rabung yang mempunyai puncak puluhan meter.

Beaman berkata, kawasan itu perlu dipetakan semula kerana ia hanya dibuat hampir 20 tahun lalu dan menggunakan teknologi yang ketinggalan zaman.

Pengukuran ini mencatatkan beberapa kawasan yang luasnya kira-kira 70 kilometer manakala kapal penyelidikan lain mengumpulkan bentuk dasar laut terperinci kerana mereka berlayar dari satu pelabuhan ke perlabuhan lain, tetapi laluan mereka hanya mencatatkan kira-kira 10 kilometer ke 20 kilometer lebar sahaja, kata laporan SMH itu.

"Tidak mungkin serpihan jatuh ke zon 10 hingga 20 kilometer lebar itu," kata Beaman.

Pencarian MH370 kini memberi tumpuan kepada mendapatkan bangkai pesawat dan kotak hitam kerana ia bukan sahaja akan membantu penyiasat menentukan apa yang terjadi kepada pesawat tetapi juga akan memberi kepastian kepada keluarga penumpang dan anak kapal.

Data satelit disahkan sebagai pesawat MH370, yang hilang lebih daripada dua minggu lalu, terhempas di Lautan Hindi dengan isyarat akhir elektronik di 08:19 (waktu Malaysia) pada 8 Mac yang masih dalam siasatan, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam.

"Terdapat bukti pertemuan antara pesawat dan stesen bumi di 0019 UTC (GMT)," Hishammuddin berkata pada sidang akhbar semalam.

"Buat masa ini, transmisi masih belum difahami dan tertakluk kepada kerja yang berterusan."

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pada Ahad, analisis satelit data oleh syarikat British Inmarsat mendedahkan Boeing 777-200ER, yang hilang dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, terhempas beribu-ribu kilometer jauh di selatan Lautan Hindi.

Semalam, sekitar 200 saudara-mara kebingungan dan ahli keluarga penumpang MH370 dari China, berarak ke Kedutaan Malaysia di Beijing.

Mereka menuntut Malaysia Airlines dan Putrajaya menjelaskan apa yang berlaku.

Ada yang sambil menangis mengangkat tangan dan menjerit slogan termasuk, "Kerajaan Malaysia adalah pembunuh" dan "Kami mahu saudara-mara kami kembali".

Keluarga yang marah ini juga bertempur dengan polis di luar kedutaan.

Dilaporkan, mereka melemparkan botol air kepada polis, yang membuat benteng manusia di depan pintu pagar kedutaan.

China menuntut Putrajaya menyerahkan data satelit yang menyebabkan mereka membuat kesimpulan MH370 menghala ke Beijing itu jatuh ke dalam laut dan tidak ada seorang pun daripada 239 penumpang dan anak kapalnya selamat.

Dua petiga daripada jumlah penumpang pesawat itu adalah warganegara China.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .