» » MAS bersedia apa pun terjadi


Malaysian Airlines (MAS) bersedia dengan kemungkinan terburuk dalam meneruskan operasi mencari dan menyelamatkan pesawat MH370 yang hilang pagi semalam dengan bekerjasama dengan syarikat pemulihan bencana daripada Amerika Syarikat.

"Syarikat penerbangan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memberi bantuan. Persediaan berdepan dengan situasi paling buruk, seorang pakar pengurusan pemulihan bencana dari Atlanta, Amerika Syarikat akan membantu MAS menghadapi saat sukar ini.

"MAS menegaskan ia terus bersikap telus dalam berkomunikasi dengan orang ramai dalam semua perkara yang melibatkan MH370," kata kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu juga akan menubuhkan satu lagi pasukan yang serupa ke Beijing lewat hari ini, kata kenyataan itu.‎

Selain itu, MAS juga akan menubuhkan sebuah pusat arahan sama ada di Kota Baru, Kelantan, atau di Ho Chi Minh, Vietnam sebaik sahaja lokasi pesawat hilang dikenal pasti.

Malam tadi, pasukan Pengurusan Kanan MAS tiba di Beijing untuk menangani media dan bertemu ahli keluarga penumpang yang terlibat. Mereka juga bertemu ahli keluarga penumpang di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman tidak senang duduk apabila diasak media antarabangsa mengenai prosedur imigresen Malaysia dan penumpang yang menggunakan pasport curi.‎

Beliau memberi laporan terkini kepada pihak media mengenai operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat MAS MH370.‎

Bagaimanapun, sebaik sahaja media diberi peluang bertanyakan soalan, Azharuddin dihujani soalan daripada pihak media antarabangsa mengenai penumpang Austria dan Itali melaporkan pasport mereka dicuri.‎

Nama warganegara Itali, Luigi Maraldi dan warganegara Austria, Christian Kozel muncul dalam senarai penumpang pesawat malang itu.

Bagaimanapun, Maraldi dan Kozel didapati dalam keadaan baik, laporan mengenai kecurian pasport mereka sudah pun dibuat.

Kementerian luar Austria dan Itali melaporkan menemuramah kedua-duanya dan disahkan masih hidup.

"Kami sedar tentang isu pasport curi dan sedang menjalankan siasatan," kata Azharuddin yang jelas kelihatan tidak selesa.

Ketika ditanya sama ada Jabatan Imigresen silang selidik nama penumpang dengan pangkalan data Interpol, Azharuddin mendiamkan diri.‎

Apabila ditekan media asing, Azharuddin menjawab mereka sedang menyiasat kes itu.‎

Beliau juga ditanya sama ada MH370 daripada jenis Boeing 777-200 sebuah pesawat yang pernah mengalami kemalangan.

"Kami sedang menyiasat dari semua sudut. Kami sudah memperolehi semua rekod pesawat daripada MAS," kata Azharuddin.

Pada Ogos 2012, hujung sayap pesawat yang sama MAS Boeing 777-200 patah semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di luar Shanghai.

Hujung sayap berlanggar dengan ekor pesawat China Eastern Airlines A340. Tiada sesiapa yang cedera.‎

Azharuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat disambung semula 7 pagi ini.

"Walaupun sudah berjam-jam mencari, masih tiada kesan MH370," katanya.

Azharuddin berkata, mereka tidak menerima apa-apa laporan daripada pihak berkuasa Vietnam berkenaan tumpahan minyak 20 km antara Malaysia dan Vietnam.

MAS berkata, pesawat berlepas pada 12:41 pagi dan hilang dari radar kawalan trafik udara di Subang pada jam 2:40 pagi.

Rentetan kejadian menggambarkan pesawat berada di udara selama dua jam – suatu tempoh yang cukup lama untuk terbang bukan sahaja di seluruh teluk Thailand tetapi juga sehingga seluruh utara Vietnam.‎

Tetapi Lindahl daripada Flightradar 24 berkata, hubungan radar terakhir adalah pada 1:19 pagi, kurang 40 minit selepas penerbangan berlepas.‎

Pihak berkuasa berkata, pada hari Sabtu adalah perbualan terakhir antara anak kapal dengan kawalan trafik udara di Malaysia iaitu pada jam 1:30 pagi. – 9 Mac, 2014.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .