Selepas lebih 80 jam pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang, beberapa anggota keluarga masih berharap berlaku keajaiban kesemua penumpang dan anak kapal dapat pulang dengan selamat.
Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, tetap tidak berputus untuk berdoa walaupun beliau reda dengan segala ketentuan Allah S.W.T.
"Memang sedih sebab belum ada khabar berita, tapi kami berharap pihak berkuasa dapat menemui pesawat itu secepat mungkin, walaupun hanya rangkanya sahaja," katanya kepada Bernama, di Putrajaya hari ini.
Mohd. Khairul, 29, yang merupakan seorang jurutera pergi ke Beijing kerana urusan kerja untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian di sana.
Selamat juga berpuas hati dengan segala maklumat yang disampaikan pihak MAS dan kecewa dengan kejadian baling botol kepada petugas MAS di China oleh keluarga penumpang MH370 yang mendakwa syarikat penerbangan itu lambat menyampaikan maklumat kepada mereka.
"Sebenarnya pihak MAS sentiasa terbuka menerima apa saja persoalan yang dikemukakan oleh waris untuk mengetahui keadaan semasa. MAS pun tertakluk kepada pihak berkuasa kerana bukan MAS yang pergi mencari tapi agensi penguatkuasa kerajaan yang pergi mencari," ujarnya lagi.
Beliau juga hairan dengan laporan yang menyatakan keluarga penumpang di China yang dapat menghubungi anggota keluarga mereka.
"Saya amat hairan mereka kata mereka dapat, tapi kita di sini cuba tak dapat pun. Malah kredit kita lagi habis," katanya.
Sementara itu, ibu kepada seorang lagi penumpang, Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, Wan Tom Wan Chik, 74, juga meluahkan harapannya agar satu-satunya anak lelakinya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
"Makcik takkan putus asa berdoa. Itu sahaja yang mampu dilakukan sekarang," katanya dengan sebak.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Sumber berita
No comments: