» »Unlabelled » Jangan percaya foto Wan Azizah berdoa


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Puteri Umno mengingatkan pengundi Kajang supaya tidak termakan dengan papan bilboard yang memaparkan foto calon PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sedang berdoa.

Muhyiddin berkata sebagaimana gambar itu menunjukkan Wan Azizah berhak menagih simpati, tetapi kes liwat II membabitkan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada kena mengena dengan BN.

"Mereka kata sebab MH370 cerita tu lebih besar dari (cerita) Datuk Seri Anwar jadi nasib dia tak terbela. Itu sebab (gambar) Datuk Seri Wan Azizah berdoa. Itu tak ada masalah, kita setuju dan kita simpati. Tapi ini sistem keadilan negara kita."

"Dia diberi peluang di mahkamah jadi pertahankanlah di mahkamah. Di luar ni rakyat bukan hakim. Kenapa nak tuduh kita? Beritahu kakak-kakak semua jangan percaya.

"Jangan fikir tengok gambar alahai, guna sentimen, konon tunjuk kezaliman (BN). Itu keputusan mahkamah," kata Muhyiddin.

Bercakap di majlis perjumpaan dengan jentera Puteri Umno di Prima Saujana, di Kajang hari ini, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata sokongan terhadap BN telah meningkat secara luar biasa dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, Ahad ini.

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada Umno dan MCA, sokongan terhadap calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun bertambah baik setelah sembilan hari berkempen.

"Sokongan Chew semakin hari semakin baik dan kita mesti teruskan untuk mencapai kemenangan," katanya.

Muhyiddin turut menyarankan Pergerakan Puteri Umno turun padang menangkis fitnah Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata Puteri Umno harus mengatur gerak langkah bagi mendampingi golongan muda di DUN Kajang bagi meningkatkan keyakinan dan sokongan terhadap BN dan Chew.

"Pergerakan Puteri Umno harus menyalurkan maklumat tepat dan memberi penjelasan kepada pengundi agar mereka tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tuduhan parti lawan untuk menjatuhkan imej BN.

Muhyiddin berkata ia adalah satu misi penting untuk memenangi DUN Kajang kerana ia membawa pengertian cukup besar untuk meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN.

Beliau berkata Chew merupakan calon BN terbaik kerana merupakan pemimpin berkelulusan tinggi, berpengalaman, bersikap integriti dan kredibiliti serta mampu memikul amanah dan tanggungjawab.

"Chew akan memberi harapan kepada kita untuk terus berkhidmat memajukan Kajang," katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita, iaitu Chew dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Januari lepas.

Sumber M-K

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .