Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menegaskan bahawa tanggungjawab untuk mengesan ketulenan pasport yang digunakan oleh penumpang terletak di bahu pihak polis sempadan.
Pemimpin persatuan itu, Tony Tyler menyebut hanya kerajaan melalui pasukan polisnya yang dapat mengakses pengkalan data mengenai dokumen perjalanan yang hilang atau dicuri.
Tyler berkata langkah itu akan mengesahkan sekiranya sesuatu dokumen tersebut digunakan secara haram.
“Jika ada masalah dengan kawalan sempadan dan pasport tidak sah, itu adalah masalah yang kerajaan perlu baiki dan tangani,” katanya seperti dipetik dalam laporan Reuters.
Laporan itu juga memetik kenyataan Interpol yang menyebut, hanya beberapa negara dari 190 negara anggotanya yang menggunakan pengkalan data itu.
Isu berhubung tanggungjawab berkenaan timbul susulan kejayaan dua orang warga Iran menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dengan pasport curi.
Pesawat berkenaan sehingga kini masih belum dijumpai selepas hilang daripada radar awam, kira-kira satu jam selepas berlepas dari Kuala Lumpur untuk penerbangan ke Beijing.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam enggan mengulas mengenai isu pasport curi berkenaan dan menyerahkan perkara itu untuk diperjelaskan oleh Jabatan Imigresen dan Interpol.
Jabatan Imigresen dan Interpol didapati mengeluarkan kenyataan yang bercanggah mengenai pasport curi yang digunakan oleh dua rakyat Iran untuk menaiki penerbangan MH370.
Bercanggah dengan versi Interpol, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata pasangan itu masuk ke Malaysia, masing-masing menggunakan pasport Itali dan Austria.
Aloyah berkata, Pouria Nourmohammadi, 19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari pada jam 8.28 malam dan mengemukakan pasport Austria.
Rakyat Iran kedua, Delavar Seyed mohammaderza, 29, tiba di KLIA pada 7 Mac jam 10.43 malam dengan pasport Itali.
Aloyah berkata kedua-dua lelaki itu dibenarkan masuk ke Malaysia berdasarkan tatacara operasi standard (SOP) oleh pegawai imigresen yang tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena.
Bagaimanapun, versi Interpol pula, seperti yang dilaporkan oleh Reuters berkata kedua-duanya datang dari Doha ke Kuala Lumpur menggunakan pasport Iran.
Sumber M-K
No comments: