Pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang perlu dilihat sebagai peluang untuk penduduk Kajang memilih seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dan berusaha menyelesaikan masalah mereka, kata bakal calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Katanya, prestasi bekas ADUN Kajang sebelum ini dilihat tidak memuaskan berikutan banyak masalah yang dihadapi penduduk tidak dapat diselesaikan.
"Oleh itu, inilah masa pengundi untuk melepaskan diri daripada kesusahan dan mengundi calon yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Naib presiden MCA itu berkata kelemahan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Pembangkang jelas ketara apabila ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletak jawatan secara mengejut pada 27 Januari lepas.
"Banyak isu pentadbiran kerajaan Selangor muncul selepas mereka berkuasa seperti krisis air, peningkatan gaji besar kepada menteri besar, speaker, timbalan speaker dan kenaikan yuran pelesenan.
"Oleh itu, untuk memastikan sistem sekat dan imbangan di dalam pentadbiran negeri Selangor serta meningkatkan bilangan wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, inilah peluang untuk menambah satu lagi... (pada pilihan raya PRK itu nanti)," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon manakala tarikh pengundian ialah pada 23 Mac.
Dalam kenyataan beliau bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, Chew meminta wanita di negara ini agar tidak lagi pasif sebaliknya berupaya berdiri di depan dan mengambil inisiatif perubahan, menggalakkan transformasi dan memainkan peranan utama dalam mencipta sejarah.
Beliau berkata transformasi ini juga perlu diserap dalam kepimpinan baru MCA bagi memulihkan parti itu serta memberi laluan kepada pimpinan baharu.
Untuk tujuan itu, katanya, MCA memerlukan sokongan semua masyarakat termasuk penyertaan wanita dalam program transformasi parti berkenaan.
"Ini adalah supaya MCA dapat membantu menyediakan negara yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia serta meninggalkan generasi pada masa akan datang dengan budaya politik yang lebih demokratik, bebas, adil dan sihat," katanya.
Sumber berita
No comments: