» » » Tak mampu beli rumah berdekatan bandar kerana miskin


Penduduk di Ampang Jaya menggesa kerajaan negeri membina lebih banyak rumah mampu milik atau Rumah Selangorku di kawasan tersebut demi kepentingan golongan berpendapatan rendah.

Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, pihaknya kerap kali mendengar keluhan masyarakat khususnya golongan belia di kawasan itu yang mahu memiliki rumah mampu milik.

"Kerajaan negeri harus bina rumah mampu milik di kawasan ini. Saya lihat ada beberapa tapak berpotensi dan boleh dijadikan tapak perumahan mampu milik.

"Namun setelah lapan tahun, tidak ada lagi rumah mampu milik di kawasan Ampang Jaya. Penduduk berpendapatan rendah ini tinggal di pinggir bandar kerana tidak mampu beli kediaman di ibu kota," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Selangor pada masa kini memberi syarat kepada setiap pemaju agar membina rumah mampu milik bernilai kira-kira RM200,000.

Bagaimanapun katanya, timbul persoalan bagi keluarga yang hanya berpendapatan RM3,000 yang mana sungguhpun mereka layak memiliki rumah mampu milik, tetapi terdapat kebarangkalian mereka tidak layak mendapat pinjaman bank.

"Perkara itu mungkin terjadi disebabkan tanggungjawab individu tersebut terhadap keluarga atau menanggung hutang.

"Kami akan melaksanakan bancian ke atas masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah di kawasan Ampang Jaya berhubung isu rumah mampu milik di kawasan ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan akan mewujudkan satu laman sesawang dalam masa terdekat untuk melakukan bancian itu dan memberi ruang masyarakat memberi cadangan terhadap isu rumah di kawasan Ampang Jaya yang nilainya semakin tinggi.

"Kita perlu utamakan individu yang belum memiliki rumah seperti dilaksanakan kerajaan persekutuan, iaitu memberi peluang kepada kakitangan kerajaan belum memiliki rumah," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .