Ahli Umno disarankan tidak takut dan menggunakan peluang yang ada untuk mengetengahkan isu dan cabaran dihadapi kepimpinan parti Melayu itu ketika ini, kata Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang Noor Azleen Ambros.
Noor Azleen berkata, ahli perlu meluahkan pandangan serta suara hati mereka kerana itu amanah yang dipikul selaku ahli.
“Ahli adalah denyut nadi parti dan mereka juga akar umbi yang menjadi teras kepada kelangsungan parti.
“Menjadi tanggungjawab para perwakilan yang diamanahkan untuk membawa suara dan kehendak akar umbi dalam mesyuarat tahunan Umno di peringkat bahagian, agar setiap perkara yang diketengahkan dapat dibincangkan penuh semangat kekeluargaan Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, para perwakilan tidak perlu gusar dalam menyatakan pendirian mereka, apatah lagi dalam keadaan Umno kini diuji dengan pelbagai cabaran dan isu melibatkan kepimpinan tertinggi Umno sendiri.
“Saya memberi jaminan kepada para perwakilan, tidak akan berlaku sebarang sekatan mahupun halangan untuk bersuara menyampaikan hasrat dan kehendak akar umbi.
“Mereka berhak bersuara dan menyatakan pandangan serta pendirian mereka mengenai perkara tersebut kerana saya tahu mereka sayangkan perjuangan murni Umno,” katanya, yang turut mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan dan Pentadbiran Pemuda Umno Pasir Gudang.
Semalam Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi peringatan kepada Pemuda Umno di setiap cawangan supaya tidak mengeluarkan kenyataan mendesak perdana menteri memberi penjelasan lanjut berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum pasukan petugas khas selesai menjalankan siasatan.
"Saya berpendirian sepertimana, yang dinyatakan Pemuda Umno sebelum ini kita akur dengan keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) (mengenai rombakan Kabinet) sebab ini adalah hak mutlak PM untuk menentukan barisan jemaah menteri," katanya.
Persidangan tahunan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang akan diadakan di Dewan Serbaguna Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Sabtu ini, bermula jam 2 petang.
Upacara perasmian mesyuarat akan disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Umno kini berdapan krisis apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri daripada Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai timbalan presiden Umno.
Susulan pengguguran beliau, beberapa ahli Umno dan pemimpin di negeri Johor menyuarakan bantahan terhadap tindakan Najib, malah terdapat beberapa pemimpin di peringkat cawangan yang mengambil tindakan keluar parti.
sumber
No comments: