» » Tindakan Najib Razak terhadap rakyat M'sia yang mengkritik sama yang dilakukan oleh presiden Suharto dahulu


Perkembangan politik di Malaysia, termasuk tindakan yang diambil Putrajaya terhadap pengkritik sama seperti Indonesia ketika zaman pemerintahan bekas presiden, Suharto selama 31 tahun, kata seorang pengarang daripada republik itu.

Pengarang Kanan Tempo Bambang Harymurti berkata, minat rakyat Indonesia terhadap Malaysia mula berkembang selepas laporan majalah itu pada April berkenaan gaya hidup Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri" mendedahkan beberapa perbelanjaan mewah Rosmah, antaranya termasuk beg tangan berjenama Birkin dan barang kemas.

Laporan itu menyebabkan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Hashim berkata, tiada keperluan mengkritik perbelanjaan Rosmah, kerana perdana menteri berasal daripada keluarga bangsawan.

"Perdana menteri berasal daripada golongan berdarjat dan bangsawan. Perbelanjaannya bukanlah satu masalah kerana beliau mampu," katanya.

Zahrain turut berkata, beliau akan menemui sidang pengarang Tempo, namun tidak berlaku, kata Bambang.

"Kami lebih tertarik sekarang, kerana di Malaysia semuanya lebih ketat sekarang.

"Kartunis turut ditahan. Jadi kami khuatir dengan rakan media di sana," katanya, kepada The Malaysian Insider melalui telefon ketika lawatannya ke Malaysia.

Beliau merujuk kepada kartunis Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar yang ditahan dan kini berhadapan 9 dakwaan hasutan berhubung kritikannya melalui Twitter susulan hukuman yang dijatuhkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zunar adalah antara individu yang berhadapan tindakan berkenaan bersama-sama pemimpin pembangkang, yang ditahan dan disiasat atau didakwa di bawah Akta Hasutan sejak tahun lalu.

Lima pengarang The Malaysian Insider turut ditahan pada Mac susulan laporan berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Semuanya mengingatkan kami kepada Indonesia ketika pemerintahan Suharto," kata Bambang.

Beliau berkata, minat terhadap gaya hidup Najib juga disebabkan perasaan "deja vu" majalah itu.

"Berita itu sangat sensasi ketika itu dan dimulakan media Malaysia," katanya.

"Namun, minat mendalam warga Indonesia turut dikongsi kerana kita berjiran dan kesamaan isu; kami pernah merasainya," katanya.

Beliau berkata, Zahrain yang dilaporkan ingin menemui pengarang Tempo juga susulan artikel mengenai Najib tidak sampai kepada pengetahuan pihak atasan.

"Saya tidak dengar sebarang susulan daripada perkara itu. Mungkin hanya pengarang yang menguruskannya tanpa pengetahuan pihak tertinggi," katanya.

Tempo dimulakan pada 1971 dan diharamkan ketika pemerintahan Suharto selepas dikatakan mengancam kestabilan negara.

Suharto yang memerintah Indonesia selama 31 tahun dikenali sebagai diktator yang menggunakan pemerintahan tentera dan melarang kebebasan bersuara di Indonesia.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .