» » 'Siasatan polis atas 1MDB kini di tangan peguam negara'


Polis pada bulan lepas selesai menjalankan siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kini menunggu arahan selanjutnya daripada peguam negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Merujuk kepada laporan polis dibuat bekas naib pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Zahid berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah oleh penjawat awam atau ajen kerajaan.

"Kertas siasatan dirujuk kepada peguam negara pada 9 Mac tahun ini untuk tindakan lanjut," katanya kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dalam satu jawapan bertulis hari ini.

Pua bertanya mengenai status siasatan polis ke atas 1MDB dan jika ahli perniagaan Low Taek Jho turut disoal kerana disyaki terlibat dengan dana pelaburan negara itu.

Tanpa menyentuh mengenai status Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, Zahid berkata Jabatan Audit Negara diarahkan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada siasatan ke atas 1MDB, yang setakat ini mempunyai hutang terkumpul mencecah RM42 bilion.

Katanya, jabatan itu seharusnya dibenarkan menjalankan tugasnya secara bebas, termasuk mendapatkan dokumen yang berkaitan tanpa sebarang halangan dalam usahanya menyiasat jika terdapat sebarang penyalahgunaan atau salah laku dalam operasi syarikat itu.

Disember tahun lepas, Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB, meminta satu siasatan "terperinci dan menyeluruh", menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah dan wakil syarikat itu yang mungkin terbabit dalam skandalnya.

Kritikan memuncak terhadap dana pelaburan strategik milik penuh Kementerian Kewangan itu yang ditubuhkan pada 2009 dan setakat ini mencatatkan hutang mencecah RM42 bilion, yang disokong Putrajaya.

Keadaan menjadi lebih hangat susulan pendedahan dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report, yang terus memberi tekanan kepada Najib dan mendorong pemimpin pembangkang, bekas dan pemimpin Umno kini, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta badan anti rasuah menuntut siasatan menyeluruh dijalankan.

Ketua audit negara kini sedang menyemak akaun 1MDB, dengan laporan awal dijangka dikemukakan kepada Parlimen pada bulan ini, manakala Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan penyiasatannya terhadap syarikat itu bulan lepas.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .