Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan diberi firma audit antarabangsa Deloitte mengenai status kewangan syarikat bermasalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada tahun 2014.
Ia juga mengakui, kelewatan Putrajaya melantik semula Deloitte mengaudit akaun terkini dana pelaburan strategik negara itu akan menjadi "halangan" kepada siasatan yang sedang dijalankan ke atas syarikat sarat hutang itu.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jawatankuasa itu tidak berpuas hati dengan penjelasan Deloitte berhubung aset 1MDB untuk dijual, di mana juruaudit itu melaporkan syarikat itu satu "going concern" (usaha berterusan) pada kali terakhir ia mengaudit akaunnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.
Dalam istilah kewangan, "going concern" bermakna fungsi perniagaan yang mantap tanpa sebarang ancaman pembubaran dalam masa terdekat.
"Kami tidak puas hati sepenuhnya, banyak yang tidak dapat dipersetujui berhubung pendapat audit itu. Salah satu ialah mengenai aset untuk dijual, kita tidak berpuas hati sepenuhnya dengan penjelasan mereka.
"Aset untuk jualan merupakan alasan yang diberikan mengapa syarikat itu mempunyai 'going concern' kerana mereka berkata aset boleh ditukar menjadi wang tunai.
"Itulah sebabnya kami meminta mereka menunjukkan bukti dan mereka menjelaskannya kepada kami, tetapi kami tidak sepenuhnya berpuas hati dengan jawapan mereka," kata Nur Jazlan selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen hari ini.
No comments: