» » Kemiskinan makin menghimpit di Malaysia lantaran GST


SEORANG wanita seperti biasa menuju ke pasar untuk membeli barangan keperluan hariannya. Sampai di pasar ia membelek beg tangannya, memerhatikan wangnya di dalam beg itu , RM40 saja banyaknya.

Ini wang yang diberi oleh suaminya, seorang pekerja di sebuah kilang, untuk belanja harian.

Wanita itu berpusing-pusing di pasar itu. Menjengah gerai ikan. Oh mahalnya harga ikan itu walaupun ikan kecil, menjengah gerai sayur juga mahal harganya, menjengah gerai lain – jualan kelapa, santan dan lain-lain juga semakin mahal.

Tidak ada yang tidak mahal dan wanita itu mencongak wang RM40 yang dibekalkan oleh seuaminya itu. Demikian sukarnya wanita itu untuk membeli barangan keperluan dengan wang sebanyak itu, walaupun di masa lalu, jumlah itu dirasakan begitu besar. Tetapi kini amat kecil.

Wanita itupun memilih dan memilih barangan yang hendak dibelinya – ayam bersaiz kecil, sedikit sayur, ikan kecil dan barangan lain untuk secukupi wangnya.

Dia mengeluh, seperti mengesat air matanya, rupanya banyak lagi barangan keperluan harian yang perlu dibelinya, tetapi dia tidak kecukupan wang.

Dia tidak meminta lagi wang daripada suaminya, kerana dia tahu suaminya bergaji kecil, menanggung pula empat anak yang masih bersekolah. Membayar pula wang untuk rumah pangsa dua bilik yang dibelinya tiga tahun lalu.

Demikianlah wanita itu dan kebanyakan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana mengalami kehidupan yang amat sukar disebabkan harga barangan keperluan semakin mahal.

Ditambah pula dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin menambah beban rakyat.

Di tengah kenaikan harga barang itu harga kelapa sawit dan getah jatuh merudum dan ini sangat menjejaskan kehidupan rakyat, khususnya di luar bandar.

Sementara itu di tengah kegawatan itu, terjadi pula pembuangan beribu-ribu kakitangan MAS. Sesuatu yang sangat menyayat hati, ketika umat Islam hendak menyambut Ramadan dan seterusnya hari raya.

Diberitakan ada kakitangan MAS itu menitiskan air mata dengan pembuangan tersebut mengenangkan anak-anak masih bersekolah, bayaran bulanan rumah perlu dibayar. Walaupun ada pampasan, tidaklah seberapa untuk meneruskan kehidupan yang berterusan.

Dikhabarkan juga ada syarikat yang hendak menutup perniagaannya, malah ada yang telah menutupnya, kerana perniagaannya merosot, menyebabkan pembuangan pekerja.

Ada pembesar negara menyuruh rakyat berjimat. Adakah pembesar itu tidak tahu bahawa bagaimanakah rakyat hendak berjimat, justeru tidak ada wang yang hendak dijimatkan. Kalau wang berlebihan munasabahlah berjimat, tetapi bagaimana hendak berjimat, benda yang tidak ada untuk dijimatkan.

Bolehlah pembesar negara itu berkata demikian kerana pendapatannya tinggi, hidup mewah, makan minum disediakan, tidak perlu ke pasar, tidak merasakan GST dan pelbahgai hambatan. Siang makan tengah hari di sana sini, makan malam pula di pelbagai tempat mewah, atas pelbagai jemputan.

Demikianlah jurang antara kaya dan miskin semakin luas, yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin. Tiada siapa yang pedulikan kesusahan rakyat ini.

Negara mempunyai hasil minyak dan gas berbilon ringgit, namun rakyat yang sepatutnya turut menikmati hasil itu, hanya berputih mata.

Projek besar demi projek besar dirancang dan dilaksanakan dan ini nampaknya menjadi perhatian utama para pembesar negara, melupakan derita rakyat yang semakin memedihkan.

Ada pemberian BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah tetapi itu tidak mengubat derita rakyat keseluruhannya, malah ia seperti gula-gula politik.

Dengan hutang negara keliling pinggang, tidak terpermenai banyaknya, maka tidak dapat dibayangkan oleh sesiapapun bagaimana masalah ini boleh diatasi.

Bayangkan jika hutang negara semakin bertambah dan bertambah menyebabkan kedudukan ekonomi negara semakin sukar, maka nilai wang semakin susut, menyebabkan kehidupan rakyat semakin sukar.

Benar, menurut pendapat Bank Dunia, bahawa Malaysia negara kaya. Tetapi apalah maknanya negara kaya, tetapi kebanyakan rakyatnya miskin yakni jurang miskin kaya semakin meluas.

Di tambah pula dengan limpahan pendatang asing – haram dan tidak haram – yang tidak terkira banyak, merebut peluang kerja rakyat tempatan kerana pekerja asing ini sanggup menerima gaji semurah-murahnya.

Kebanjiran mereka ini menyebabkan pelbagai masalah sosial berlaku dan rakyat tempatan menjadi sangat tertekan. Merasa seperti orang asing di negara sendiri.

Di tambah pula dengan kejadian jenayah bertambah di sana sini, wabak penyakit dan pelbagai masalah sosial yang sangat merungsingkan rakyat. Semuanya ini sangat membimbangkan rakyat di tengah-tengah harga barangan terus naik.

Siapa yang hendak memperjuangkan nasib mereka, ketika pemimpin politik terus menerus bergelut dengan krisis sesama sendiri.

Itulah yang berlaku di negara Malaysia yang telah lebih setengah abad merdeka.

Tiada pihak secara serius berusaha untuk mengatasi masalah berat ini sebenarnya .


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .