Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru umat Islam mengelak pembaziran makanan ketika bulan Ramadan, dan berkata kira-kira RM9 bilion sudah dibazirkan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, umat Islam perlu lebih prihatin mengelak pembaziran ketika berbuka puasa kerana dibimbangi akan memberi tafsiran salah kepada permintaan pasaran semasa.
"Masyarakat Malaysia perlu mencemuh budaya ini. Kita kena cemuh budaya pembaziran yang Jepun dan Jerman tak buat begitu.
"Hari ini barang naik, ayam naik, sayur naik kerana ada orang buang. Saya dimaklumkan pembaziran ini dalam jumlah RM9 bilion pada bulan puasa sahaja. Ini satu jumlah yang tak masuk akal.
"Ramai masyarakat kini terperangkap dalam budaya berpuasa kena makan banyak mana, kemudian buang. Ini budaya yang saya takut boleh merosakkan masyarakat," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PPIM di Kuala Lumpur pagi ini.
Nadzim berkata, apa yang lebih menyedihkan, buffet Ramadan yang dianjurkan hotel tertentu di Malaysia menambahkan lagi pembaziran yang tidak dapat dikawal.
Katanya, pelbagai menu ditawarkan menyebabkan ia cenderung kepada pembaziran yang bertentangan dengan seruan kepada umat Islam sempena Ramadan ini.
"Di bulan puasa, ia amat menyedihkan lagi kerana ada hotel menyediakan 100 menu makanan. 100 menu ini siapa boleh makan? Saya pun tak tahu. Mungkin ada istimewa gajah atau zirafah tetapi ini satu benda yang amat pelik.
"Kita sudah menghidupkan satu budaya yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia. Pihak berwajib perlu menguatkuasakan supaya perkara ini tidak berlaku," katanya.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu melakukan penguatkuasaan dan tampil membendung budaya tersebut.
Katanya, budaya makan berlebihan semasa berbuka puasa memberi isyarat salah kerana masih terdapat golongan tidak cukup makan di negara ini.
"Masih ada pelajar di Tahun 4 yang makan nasi kosong dan rencah mi segera. Sehari sekali makan.
"Maka terdapat satu keadaan orang yang kaya raya buang makanan dan satu lagi orang tak ada duit nak makan. Maknanya ada yang silap," katanya.
Nadzim berkata pusat pengumpulan makanan perlu diwujudkan bagi mengelak hotel yang menganjurkan buffet berbuka puasa terus menerus melakukan pembaziran.
Katanya, walaupun usaha berkenaan masih belum digerakkan, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan apatah lagi dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan.
"Mesti ada pusat pertukaran makanan. Maknanya barang tak habis hantar di situ secara sukarela.
"Kalau kita mahu, tiada yang mustahil. Bukan nak pergi ke bulan. Ini idea untuk menjimatkan makanan," katanya.
sumber
No comments: