» » 'Saya dan Najib Razak tak makan satu sen pun duit GST'


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) apabila mengatakan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak "diambil" mereka.

Muhyiddin sebaliknya berkata, hasil kutipan cukai itu akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pemberian bantuan-bantuan kewangan dan bantuan lain yang diperlukan rakyat.

"Bukan saya ambil, Najib ambil, Hishammuddin ambil...kita kumpul kemudian bagi balik," katanya, merujuk kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 4, Pahang.

"(Hasil kutipan GST) mungkin kita tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mungkin bantuan-bantuan lain...takkan kita nak pinjam bank-bank dunia," katanya, yang juga merupakan timbalan presiden Umno.

Dalam ucapannya bersempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin itu, Muhyiddin turut berkata, beliau enggan mengulas lanjut berkenaan GST kepada komuniti Felda.

"Saya tak nak sebut GST, nanti tuan-tuan marah saya...saya sokong GST, saya malas (ulas GST), saya kalah nanti...kita simpan dahulu," katanya.

"Saya tengok tuan-tuan hari ini saya boleh tahu apa dalam fikiran, GST pilihan raya, anak-anak nak pergi sekolah, bayar lesen, premium tanah, nak dapat hak milik, macam-macma lagi," tambah ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut berkata, terdapat sesetengah pihak mahukan kerajaan memansuhkan BR1M atas alasan satu pembaziran.

"Ada orang tidak setuju, dia kata (BR1M) membazir...saya tidak mahu kata siapalah. (Dia kata) bagi pun dia (pengundi) tak sokong, yalah bagi PAS memanglah tidak sokong," kata Muhyiddin.

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini semakin lantang mengkritik pentadbiran Najib, malah turut menyentuh beberapa isu seperti pemberian BR1M, isu syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta pelaksanaan GST.

"Subsidi kita sekarang RM24 bilion...zaman Dr Mahathir dulu RM2 bilion, bila kita jimat daripada pengapungan harga minyak kita belanjalah...kita bagilah pada kumpulan sasar," kata Muhyiddin.

Peneroka Felda yang hadir dalam program tersebut bagaimanapun menolak cadangan Muhyiddin sekiranya Putrajaya mencadangkan BR1M dimansuhkan.

"Kalau nak tarik balik BR1M tuan-tuan setuju atau tidak?" katanya, lalu disambut jeritan "Tidak!" daripada peneroka Felda.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .