» » Mat Sabu alu-alukan Dr Mahathir hadir di himpunan bantah GST


Penganjur himpunan Hari Pekerja #BatalGST yang menyasarkan sejuta peserta pada 1 Mei ini mengalu-alukan kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mohamad yang mempengerusikan himpunan tersebut berkata melalui bantuan media sosial, ceramah, badan bukan kerajaan (NGO) dan media, sasaran kehadiran 1 juta itu mampu dicapai kerana berpendapat semua rakyat terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Pemimpin (Pakatan Rakyat) diharapkan akan hadir pada hari tersebut. Kalau Dr M nak hadir pun dialu-alukan sebab dia sekarang jadi hero menentang GST," kata Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu.

"Kalau boleh kita sasarkan seramai yang mungkin. Mungkin 1 juta. Ini isu rakyat. Jadi mereka (rakyat) akan terpanggil untuk datang.

"GST ini semua kaum terlibat, jadi semua kaum marah," katanya pada sidang media Batal GST #KamiSemuaTokJanggut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Mat Sabu juga memberitahu, ketua polis daerah Dang Wangi akan dimaklumkan mengenai himpunan itu hari ini.

Ditanya adakah ia akan mendapat bantuan pihak polis, beliau menjawab: "Pasti polis akan membantu, sebab polis pun kena GST."

Katanya, himpunan itu dinamakan Batal GST #KamiSemuaTokJanggut kerana Tok Janggut merupakan lambang anak bangsa yang membantah sistem percukaian 100 tahun dahulu.

"Lebih 50 pertubuhan politik, kesatuan sekerja, organisasi massa, NGO dan tokoh terkemuka seperti sasterawan negara Datuk A Samad Said, D Muhammad Salleh, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi akan menghadiri himpunan ini," katanya.

Sementara itu, Samad yang turut hadir berkata, beliau merasakan rakyat Malaysia seharusnya menentang pelaksanaan GST yang berkuatkuasa 1April lalu bagi mengelakkan dari terus dicengkam kerajaan.

"Saya rasa kalau kita tak melawan, kita akan terus dicengkam. Kerajaan pandai buat hutang sahaja, tetapi kita yang terpaksa membayar hutang.

"Bagi saya, GST ini sebenarnya mencengkam. Kalau kita tidak berbuat apa-apa, kita tidak lawan ketidakadilan, dan ini adalah salah. Ia (himpunan) demi kebajikan awam," katanya.

Perhimpunan itu akan berlangsung selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.30 petang dan para peserta himpunan dialu-alukan berpakaian merah sebagai warna rasmi perhimpunan itu serta berkumpul di empat lokasi iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Menara Maybank.

Kemudian, para peserta akan bergerak perlahan-lahan daripada Dataran Merdeka menuju ke bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kerana difahamkan ucapan pimpinan utama akan dilakukan di situ.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .