» » » Anggota polis hilang lepas keluar rumah tak pakai kasut


Seorang bapa risau dan buntu memikirkan nasib anaknya yang hilang tanpa sebarang berita sejak 25 September lepas.

Mohd Azuni Sujak, 54, bingung memikirkan ke mana anaknya yang juga anggota polis pergi selepas kali terakhir dia berada di rumah di Kampung Ribu, di sini, penghujung bulan lepas.

Pada waktu tersebut, anaknya, Muhammad Aizuddin, 26, pulang ke rumah dalam keadaan tidak terurus serta tidak memakai kasut.

Menurut Mohd Azuni, anaknya itu kemudiannya mengambil kunci motosikal dan terus beredar dipercayai menghala ke Lebuhraya Utara Selatan.

Katanya, ketika itu, dia tiada di rumah dan hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas dihubungi seorang lagi anaknya, Nor Haliza, 16.

"Masa tu saya ada di Langkawi dan anak beritahu abangnya keluar tanpa memberitahu apa-apa kepada mereka.

“Saya kemudiannya bergegas pulang ke Perak dan apabila sampai, saya mencarinya di sekitar kawasan Ipoh kerana merasakan dia pergi ke situ, namun tak jumpa.

“Sampailah ke hari ini, sudah lebih 10 hari anak saya hilang. Memang saya tak tahu dia ke mana kerana telefon bimbit pun dia tak bawa,” katanya.

Mohd Azuni berkata, dia bimbang sesuatu mungkin terjadi kepada anaknya kerana dia mengalami masalah kemurungan.

"Anak saya itu masih lagi menjalani rawatan di Hospital Langkawi dan saya percaya kehilangannya ada berkait dengan kemurungan dialaminya.

“Masa dia balik rumah dalam keadaan kusut masai dan tidak berkasut itu pun, saya rasa dia memang sedang mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

“Mungkin niat dia keluar untuk tenangkan perasaan, namun apabila dia hilang tanpa khabar berita sebegini, memang sangat risau dibuatnya apatah lagi dengan keadaannya sebegitu," katanya.

Tambahnya, kali terakhir anaknya memakai baju T berwarna merah dan seluar coklat. Motosikal yang digunakan pula jenis Yamaha LC 135 warna merah.

Dalam pada itu, katanya, tiada apa diharapkan sekarang selain anaknya itu dijumpai dalam keadaan selamat dan pulang ke pangkuan keluarga.

“Pelbagai ikhtiar sudah kami lakukan, namun masih gagal menemui Aizuddin. Diharap orang di luar sana juga dapat membantu kami mengesannya.

“Jika ternampak dia di mana-mana, laporkanlah kepada balai-balai polis berdekatan atau boleh terus hubungi saya di talian 017-5285394,” katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .