» » Muhyiddin silap besar jika guna pentas UMNO lagi kerana kebanyakan ketua Bahagian sudah "dibodohkan" dengan wang dan korupsi


Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan “kesilapan pentas” sekiranya beliau menggunakan pentas Umno untuk menyampaikan ucapannya kerana perwakilan yang hadir, lebih-lebih lagi sebahagian besarnya adalah ketua Bahagian sudah "disihirkan" dengan wang dan pelbagai imbuhan, kata Ku Seman Ku Husein.

Penolong pengarang Mingguan Malaysia itu berkata, pejuang dan pemimpin yang berani bangkit bersuara juga tidak akan berada di dalam perwakilan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) bulan depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Jumlah pejuang dan pemimpin yang akan bangkit bersuara berani menyokong atau mencetuskan gelombang perubahan ke arah memenuhi harapan ahli-ahli Umno, penyokong-penyokong Umno dan rakyat seluruhnya di luar tidak akan ada dalam perwakilan di PAU di PWTC bulan depan.

"Oleh demikian Muhyiddin tidak perlu menggunakan pentas PAU kali ini untuk menyuarakan pendiriannya. Beliau akan tersilap pentas apabila sebahagian besar para perwakilan yang terdiri daripada ketua bahagian disihirkan dengan wang, jawatan dan pelbagai imbuhan. Suara-suara sihir ini bukan lagi diri sendiri atau suara mereka yang sebenarnya,” katanya dalam tulisan disiarkan dalam blog bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Malah Ku Seman berkata, beliau juga khuatir Muhyiddin akan ditertawakan mereka yang “oportunist” dan bermuka-muka di hadapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Puak ‘oportunis' sudah lihat apa yang berlaku kepada Muhyiddin yang akhirnya bukan sahaja dipecat sebagai timbalan perdana menteri tetapi dinafikan secara paling tidak demokratik sebagai timbalan presiden Umno.

"Jangan terkejut kalau tahun lepas Muhyiddin dijulang dan didendang semasa PAU walaupun keras mengkritik sikap Umno tetapi kali ini ketua Bahagian Umno sudah tidak kenal lagi dengan Muhyiddin. Mereka takut untuk bersalam kerana bimbang terlepas peluang daripada rejim yang memerintah. Inilah dunia Umno,” katanya, dipetik blog berkenaan.

Najib, yang juga perdana menteri sebelum ini mengumumkan Majlis Tertinggi Umno memutuskan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada PAU akan dirasmikan ketua sayap masing-masing dan bukannya Muhyiddin.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai bagi mengekalkan "suasana baik dan positif" perhimpunan.

Mengikut konvensyen Umno, mesyuarat sayap-sayap parti dirasmikan timbalan presiden.

Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini digugurkan dalam rombakan Kabinet pada hujung Julai lalu dan ia berlaku selepas kedua-dua mereka rancak menyatakan perbezaan pendapat dengan Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Muhyiddin kena mencari pentas lain, pendekatan lain dan khalayak lain kerana bukan semua orang Umno termakan nasi kangkang. Banyak yang ada prinsip dan kenal agama. Banyak yang tidak buta membaca semiotik yang kerap kali ditayangkan di depan mereka.

"Maknanya banyak orang Umno yang mahu hidup secara bermaruah dengan menjauhkan diri daripada perbuatan yang tidak amanah. Mereka inilah yang akan bersama-sama Muhyiddin,” tulis Ku Seman.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .